Berlaku kelewatan audit pembekalan kenderaan

Berlaku kelewatan audit pembekalan kenderaan

MAS ERMIEYATI SAMSUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Berlaku kelewatan dalam pengauditan dan pengesahan data baki hari kelewatan pembekalan kenderaan bagi semua kementerian dan agensi pengguna.

Perkara itu menyebabkan surat tuntutan penalti rasmi tidak dapat dikemukakan kepada syarikat konsesi dalam kadar segera.

Ia antara isu terkandung dalam lima syor Penyata Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berhubung pengurusan kenderaan kerajaan di bawah perjanjian konsesi di bawah Kementerian Kewangan (MoF).

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, MOF juga perlu memasukkan penambahbaikan yang telah dikenal pasti ke dalam Perjanjian Tambahan bersama SPANCO Sdn. Bhd.

Katanya, ini supaya kadar pajakan bulanan tidak dikenakan bagi mana-mana kenderaan konsesi yang telah tamat tempoh pajakan tetapi terpaksa terus digunakan akibat kelewatan pembekalan kenderaan baharu.

“Selain itu, MoF perlu meminda ketetapan tempoh pembekalan 60 hari bekerja bagi penggantian kenderaan di dalam syarat kontrak sedia ada serta pekeliling semasa untuk diselaraskan dengan norma dan keupayaan sebenar industri pembuatan automotif semasa.

“Ia perlu mengambil kira faktor-faktor seperti perubahan varian kenderaan, tempoh pemprosesan kastam dan pendaftaran kenderaan, pemasangan peralatan operasi khusus serta faktor geografi terutamanya bagi serahan kenderaan ke Sabah dan Sarawak bagi mengelakkan pengenaan penalti yang tidak wajar di masa hadapan,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen hari ini.

Mas Ermieyati berkata, MoF dan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) perlu menjalankan kajian komprehensif bagi meneroka keberkesanan model pengurusan alternatif seperti sistem pembekal fleet pelbagai.

“Kajian itu hendaklah menilai potensi penjimatan kos dan kecekapan penyampaian perkhidmatan berbanding model konsesi tunggal sedia ada yang mengikat kerajaan sehingga 2037.

Beliau berkata, MoF perlu memastikan pelaksanaan sistem digital pemantauan fleet kenderaan digunakan sepenuhnya oleh semua kementerian dan agensi pengguna.

“Sistem ini perlu mengeluarkan amaran awal tamat tempoh pajakan kenderaan bagi memastikan permohonan pesanan kenderaan dibuat dalam tempoh yang sepatutnya,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN