KUALA LUMPUR: Prestasi pengurusan kenderaan kerajaan di bawah syarikat konsesi didapati tidak memuaskan apabila jumlah penalti tertunggak dianggarkan mencecah RM54.51 juta.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam, terdapat kelewatan penghantaran kenderaan oleh syarikat konsesi dikesan, namun tiada sebarang tindakan tuntutan atau caj penalti dikenakan terhadap pihak terbabit.
“Analisis audit berdasarkan data dalam sistem pengurusan kenderaan konsesi mendapati sehingga 31 Disember 2024, sebanyak 6,028 kenderaan dihantar lewat antara satu hingga 508 hari iaitu melebihi tempoh penghantaran 60 hari bekerja dari tarikh pesanan.
“Semakan audit juga mendapati tiada rekod menunjukkan tuntutan penalti dibuat terhadap syarikat konsesi berkenaan sehingga tarikh audit dijalankan,” kata laporan itu.
Ia turut mendedahkan Kerajaan Persekutuan menanggung kos tambahan kira-kira RM28.79 juta kerana terus menggunakan kenderaan pajakan yang telah tamat tempoh dan tidak digantikan dalam masa ditetapkan.
Berdasarkan maklum balas Kementerian Kewangan, sebuah Jawatankuasa Penalti telah ditubuhkan bagi meneliti dan menentukan tuntutan wajar untuk dikemukakan terhadap syarikat konsesi.
“Jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan) dan dianggotai wakil pelbagai bahagian dalam kementerian serta Jabatan Akauntan Negara,” kata laporan itu.
Kementerian Kewangan juga dilaporkan telah mengadakan sesi libat urus dengan semua kementerian pada 18 Ogos lalu bagi membentangkan dapatan audit dan menjelaskan langkah susulan yang perlu diambil.
Berdasarkan laporan itu, Kementerian Kewangan telah menandatangani Perjanjian Konsesi Kedua (CA2) pada 31 Januari 2022 bagi pembekalan, pembaikan, penyelenggaraan dan pengurusan kenderaan kerajaan bagi tempoh 15 tahun bermula 31 Julai 2022 hingga 30 Julai 2037.
Perjanjian baharu itu menggantikan Perjanjian Konsesi Pertama (CA1) yang asalnya dijadual tamat pada 31 Disember 2018, namun telah dilanjutkan melalui empat perjanjian tambahan sebelum berakhir pada 31 Julai 2022.
Sehingga 31 Disember 2024, sebanyak 14,459 kenderaan konsesi telah dibekalkan iaitu terdiri daripada 5,881 unit di bawah CA1 dan 8,578 unit di bawah CA2.
Daripada jumlah itu, 11,322 kenderaan digunakan oleh jabatan kerajaan, manakala 3,137 kenderaan merupakan kenderaan rasmi.
Di bawah perjanjian konsesi, bayaran bulanan merangkumi caj sewaan dan yuran pembaikan, penyelenggaraan dan perkhidmatan tambahan (RMA) yang dikira bagi setiap kenderaan dibekalkan.
“Semakin lama usia kenderaan, semakin tinggi kadar RMA perlu dibayar. Antara 2021 hingga 2024, kementerian telah membelanjakan RM1.75 bilion bagi sewaan, pembaikan dan penyelenggaraan kenderaan konsesi di bawah CA1 dan CA2,” kata laporan itu.
Jabatan Audit Negara (JAN) mengesyorkan Kementerian Kewangan sebagai pentadbir kontrak supaya mengambil tindakan segera menuntut semula RM54.51 juta penalti tertunggak daripada syarikat konsesi, selain mempercepatkan penggantian kenderaan yang tempoh pajakannya telah tamat. – UTUSAN










