PETALING JAYA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM229.93 juta bagi menyenggara kapal berusia lebih 30 tahun pada tahun lalu yang menunjukkan kebergantungan terhadap aset lama yang berisiko dari segi fungsi dan kos.
Menerusi Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2025, agensi itu juga didapati membelanjakan RM78 juta bagi bot berusia antara 11 hingga 20 tahun sekali gus menunjukkan beberapa kelemahan yang memberi kesan kepada keberkesanan perbelanjaan dan kawalan tadbir urus kerja.
Selain itu, kapal KM Langkawi yang berusia 37 tahun merekodkan perbelanjaan penyelenggaraan tertinggi berjumlah RM28.40 juta.
“Berdasarkan rekod Return of Vessel Availability (ROVA), kapal ini tidak beroperasi sejak 16 Januari 2023. Kerja penyenggaraan refit telah mula dilaksanakan pada 10 Mei 2024 dan siap pada 6 Jun lalu.
“Bagi bot pula, Penggalang 15 yang berusia 12 tahun merekodkan perbelanjaan penyelenggaraan tertinggi, iaitu berjumlah RM5.26 juta,” katanya.
LKAN berkata, semakan audit mendapati daripada jumlah RM530.84 juta yang diperuntukkan, sebanyak RM521.39 juta telah dibelanjakan,” katanya.
Bagi mengatasi kelemahan yang berlaku, LKAN mengesyorkan langkah penambahbaikan seperti merancang dan mengatur dengan teliti kerja penyelenggaraan kapal dan bot supaya peruntukan diterima dapat dibelanjakan secara optimum serta memastikan kerja penyelenggaraan dapat disiapkan pada tahun semasa bagi mengelakkan risiko kenaikan kos.
Agensi itu memiliki 237 aset laut yang beroperasi di perairan Selat Melaka, Laut China Selatan dan Laut Sulu untuk memastikan tiada pelanggaran undang-undang, salah laku jenayah atau pencerobohan dilakukan dalam perairan Malaysia. – UTUSAN










