LKAN: PAC panggil Kementerian Kewangan, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah

LKAN: PAC panggil Kementerian Kewangan, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan mendapatkan penjelasan Kementerian Kewangan dan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah berhubung Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) siri 3/2025 kelmarin.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin berkata, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah akan dipanggil berhubung teguran membabitkan sistem pembayaran wang jamin atau e-jamin

Katanya, manakala Kementerian Kewangan akan memberi penjelasan berhubung pengurusan kenderaan kerajaan di bawah perjanjian konsesi.

“Tarikh bagi kedua-dua prosiding ini akan ditentukan kemudian,” katanya pada sidang akhbar PAC di Parlimen hari ini.

Sebelum ini, LKAN 3/2025 mendedahkan prestasi pengurusan kenderaan kerajaan di bawah syarikat konsesi yang kurang memuaskan dengan jumlah penalti tidak dikenakan dianggarkan RM54.51 juta.

Menurut laporan itu, walaupun kenderaan berkenaan dihantar lewat tetapi tiada sebarang tuntutan atau caj penalti dikenakan terhadap syarikat konsesi terbabit.

Analisis audit berdasarkan data dalam sistem pengurusan kenderaan konsesi mendapati sehingga 31 Disember tahun lalu, sebanyak 6,028 kenderaan dihantar lewat antara satu hingga 508 hari, melebihi tempoh penghantaran 60 hari bekerja dari tarikh pesanan.

Sementara itu, Mas Ermieyati berkata untuk tahun ini PAC sudah membentangkan 14 penyata, dengan empat lagi laporan dicadang untuk dibentangkan bagi mesyuarat ketiga ini.

Beliau dalam masa yang sama berkata, PAC akan mengadakan lawatan kerja bagi memantau status pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) di Limbungan Boustead Naval Shipyard di Markas Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut, Perak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN