Pasukan Peninjau Khas Malaysia memasuki Aleppo

Pasukan Peninjau Khas Malaysia memasuki Aleppo

NORMAN Muhamad (tiga dari kiri) menyerahkan sumbangan awal kerajaan Malaysia kepada wakil badan kemanusiaan Syria di Aleppo. - IHSAN WISMA PUTRA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Buat julung kali dalam sejarah, Pasukan Peninjau Khas Malaysia berjaya memasuki Aleppo di Syria yang terjejas teruk akibat tempias gempa Turkiye minggu lalu.

Menurut Wisma Putra, kumpulan itu hari ini juga berpeluang menyaksikan sendiri suasana kemusnahan di kota kedua terbesar di negara tersebut yang dihuni lebih dua juta orang.

Kepiluan jelas terbayang apabila mereka dimaklumkan oleh pihak berkuasa tempatan bahawa lebih 5,800 nyawa sudah pun terkorban di sekitar bandar raya berkenaan setakat ini.

Pasukan tersebut yang diketuai Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Dua Hala Kementerian Luar, Datuk Norman Muhamad turut bertemu Gabenor Aleppo, Hussein Diab yang mewakili kerajaan Syria mengucapkan penghargaan atas kehadiran pasukan Malaysia membantu mangsa.

Kumpulan berkenaan seterusnya ketika meninjau lokasi gempa menyerahkan sumbangan kerajaan Malaysia kepada wakil dari badan tempatan, Syria Trust for Development.

Terdahulu, Norman diiringi Duta Besar Malaysia ke Lubnan, Azri Mat Yacob mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar dan Ekspatriat Syria, Faisal Miqdad di ibu kota Damsyik yang turut membincangkan kemungkinan Kedutaan Besar Malaysia di Damsyik yang ditutup ketika perang saudara meletus pada 2012 akan dibuka operasinya kembali.

Delegasi itu yang turut disertai Konsul Kehormat Malaysia di Damsyik, Sameer Al-Koor, juga berjumpa Menteri Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Syria, Hussein Makhlouf.

Beliau yang merupakan Ketua Jawatankuasa Tertinggi Hal Ehwal Kemanusiaan Syria memberi jaminan keselamatan konvoi misi Malaysia ke kawasan terjejas gempa bumi.

Malahan jaminan sama disuarakan ketika bertemu Pengerusi Persatuan Bulan Sabit Merah Syria, Khaled Hboubati dan menyelaraskan gerak kerja dan logistik misi bantuan.

Esok, penerbangaan sulung melibatkan dua pesawat membawa bantuan kemanusiaan dari Malaysia dijangka mula berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya