PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meneliti jejak wang RM50 juta sama ada digunakan semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu atau kemungkinan masuk ‘ke poket sendiri’.
Jumlah itu dikatakan dari RM300 juta dana di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi yang didakwa diterima Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, siasatan SPRM mendapati ada pihak yang ‘membelanjakan’ jumlah tertentu dana itu. Jadi, ia perlu diteliti ke mana dan tujuan wang itu digunakan.
Mengulas lanjut, kata sumber itu, kertas siasatan berkenaan hampir dilengkapkan selepas beberapa pemimpin parti itu dipanggil SPRM sebelum ini bagi memperinci setiap wang yang dibelanjakan.
“Kertas siasatan hampir siap sebelum tindakan seterusnya diambil. Dua akaun bernilai RM40 juta milik Bersatu masih dibekukan SPRM,” jelasnya ketika dihubungi semalam.
Pada 3 Februari lalu, Utusan Malaysia melaporkan baki RM260 juta daripada lebih RM300 juta dana di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi yang disyaki diterima Bersatu dipercayai dibelanjakan semasa PRN dan PRU15.
Siasatan SPRM berhubung perkara itu difokuskan dalam pelbagai sudut untuk mengesan jejak kewangan bagi tujuan mengetahui punca dan aliran wang yang telah dibelanjakan termasuk kemungkinan ia diberikan kepada pemimpin parti-parti komponen di bawah Perikatan Nasional (PN) dan pelbagai kegunaan lain.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sebelum ini menegaskan, agensi itu akan memanggil sesiapa sahaja yang ada kaitan dan boleh membantu siasatan.
Pada 2 Februari lalu, SPRM membekukan akaun bank Bersatu bernilai lebih RM40 juta bagi membantu siasatan penyelewengan dana di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi.
Pembekuan itu dilakukan apabila Bersatu dipercayai menerima lebih RM300 juta wang yang dipercayai daripada dana kerajaan ketika negara dilanda pandemik Covid-19.
Bagaimanapun, semakan dalam akaun yang dibekukan hanya menemukan wang RM40 juta manakala bakinya RM260 juta masih dijejaki.
Pembekuan dilakukan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram. – UTUSAN










