Jarak penglihatan Lebuhraya PLUS terhad akibat kebakaran lalang

Jarak penglihatan Lebuhraya PLUS terhad akibat kebakaran lalang

KEBAKARAN kawasan lalang yang mengganggu penglihatan pengguna di Kilometer 43.5, Lebuhraya Utara Selatan di Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kebakaran kawasan lalang menjejaskan penglihatan pengguna Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dalam kejadian di Kilometer 43.5, arah Selatan lebuh raya berkenaan berhampiran Persimpangan Bertingkat Alor Setar Utara, hari ini.

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dalam kenyataannya mengesahkan kebakaran kira-kira pukul 11 pagi tersebut berlaku di dalam kawasan lebuh raya selenggaraan pihaknya.

“Sebaik mendapat maklumat tentang kejadian ini, PLUS telah menghubungi pasukan bomba untuk membantu memadamkan kebakaran terbabit.

“Kebakaran berjaya dipadamkan pada pukul 2:20 petang dan berdasarkan rekod, berlaku satu kemalangan kecil membabitkan sebuah motosikal dan kenderaan bomba akibat kepulan asap yang mengganggu penglihatan pengguna di kawasan terbabit,” katanya di sini hari ini. 

Tambah kenyataan itu, pasukan PLUSRonda dan pasukan penyelenggaraan Edgenta Infra Services turut membantu mengawal lalu lintas dan memberi amaran kepada kenderaan lain untuk meningkatkan tahap keselamatan.

Katanya, punca kebakaran masih dalam siasatan pihak berkuasa dan PLUS pada masa sama akan terus memantau lokasi-lokasi lain terutamanya di laluan lebuh raya Alor Setar Selatan sehingga Jitra bagi mengelak kejadian yang sama berulang. 

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Raja, Penolong Penguasa Bomba Wan Azizul Hakim Wan Jaafar memaklumkan, kawasan kebakaran dianggarkan seluas satu hektar melibatkan lalang di kawasan tepi lebuh raya itu.

“Kerja pemadaman dilakukan menggunakan air daripada tangki bomba dan menggunakan ‘fire beater’ oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja selain operasi memadam kebakaran lalang turut dibantu oleh pasukan bomba sukarela. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya