Guna tekanan gas letup mesin ATM, larikan RM349,000 - Utusan Malaysia

Guna tekanan gas letup mesin ATM, larikan RM349,000

Letup ATM
ANGGOTA polis menjalankan siasatan kes letupan itu dekat sebuah bank di Setia Alam, Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tiga suspek dipercayai menggunakan kaedah tekanan gas bagi meletupkan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebelum melarikan wang berjumlah RM349,000 dekat sebuah bank di Setia Alam di sini, hari ini.

Selain itu, suspek turut menyembur kamera litar tertutup (CCTV) premis dengan cat hitam sehingga menyebabkan rakaman kabur dan kurang jelas bagi mengelakkan daripada dikesan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan daripada orang awam pukul 6.48 pagi. 

Katanya, pemeriksaan mendapati dua mesin ATM bank itu mengalami kerosakan teruk akibat diletupkan penjenayah.

“Satu daripada mesin itu berjaya dibuka manakala sebuah lagi tidak berjaya dibuka. Nilai keseluruhan kerugian dianggarkan RM409,000 termasuk wang tunai berjumlah RM349,000 yang dilarikan suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan dua mesin ATM bank itu diletupkan penjenayah, kira-kira pukul 6.30 pagi tadi.

Sepasukan polis termasuk Unit Anjing Pengesan (K9) dan Unit Pemusnah Bom turut berada di lokasi berkenaan yang turut ditutupi garisan polis bagi siasatan lanjut.

Jelas Mohd. Iqbal, siasatan pihaknya mendapati tiga lelaki bertopeng menaiki kereta Mitsubishi ASX berwarna putih dilihat memasuki bank itu.

“Siasatan awal Unit Forensik mendapati letupan dipercayai dihasilkan dengan cara tekanan gas dan rakaman CCTV kabur kerana disembur cat oleh suspek. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan tiada kesan kebakaran di lokasi kejadian,” ujarnya.

Tambah beliau, kes itu diklasifikasikan mengikut Seksyen 436/379 Kanun Keseksaan.

“Polis sedang mempergiatkan usaha mengesan semua suspek terlibat. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Mohammad Khairi di talian 012-2666025 atau balai polis berdekatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya