KLANG: Dua lelaki tempatan bersama tiga warga Myanmar dituduh di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menyeludup masuk 18 pendatang asing tanpa izin (PATI) dekat sebuah apartmen di Puchong, awal bulan ini.
Bagaimanapun, tertuduh, Hasnul Nazudi Che Ahamed, 45; Mohd. Faisal Taib, 37, dan Ma Nge, 28, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Malaysia di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail.
Tiada pengakuan direkodkan sehingga pertuduhan di bawah kesalahan itu disebut di Mahkamah Tinggi.
Bagaimanapun, bagi tertuduh Soe Min Oo, 28, dan Soe Naing, 43, ditetapkan semula tarikh pertuduhan mereka bagi membolehkan seorang jurubahasa Myanmar membaca pertuduhan ke atas mereka.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh itu mencapai niat bersama menyeludup 18 orang migran Myanmar dekat sebuah apartmen di Setiawalk, Pusat Bandar Puchong pada pukul pukul 12.15 tengah hari, 5 April lalu.
Justeru, mereka dituduh di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan/
Jika sabit kesalahan, kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya, Norhidayah Abdullah Sani tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh kerana ia merupakan kesalahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Mahkamah menetapkan 6 Mei ini untuk sebutan semula kes.
Difahamkan, kesemua tertuduh merupakan transporter yang membawa 18 migran Myanmar masuk ke negara ini melalui Kelantan dan seterusnya ke Lembah Klang. Mereka datang ke Malaysia untuk mencari pekerjaan. – UTUSAN










