‘Persiaran maut’, ‘bottle-neck’ gelaran lazim Persiaran Mokhtar Dahari

‘Persiaran maut’, ‘bottle-neck’ gelaran lazim Persiaran Mokhtar Dahari

Persiaran Mokhtar Dahari
SELAIN sepanduk, penduduk turut membawa replika jenazah bagi memprotes tindakan pihak berkuasa yang didakwa mengabaikan tahap keselamatan jalan di Persiaran Mokhtar Dahari, dekat Alam Budiman, di Shah Alam, Selangor, semalam. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Lebih 200,000 penduduk dekat tiga kawasan utama di sepanjang Persiaran Mokhtar Dahari menyifatkan jalan yang menghubungkan bandar raya ini dengan Kuala Selangor sebagai ‘persiaran maut’ susulan kekerapan berlakunya kemalangan.

Malah, penduduk di Seksyen U10 yang merangkumi kawasan Alam Budiman dan Puncak Perdana mendakwa kemalangan di laluan B49 itu berlaku hampir setiap hari apabila terbaharu melibatkan seorang penunggang motosikal di berhampiran Greenhill Residence.

Pengerusi Persatuan Penduduk Gabungan Penduduk U10, Badrul Hisham Shahbudin berkata, isu tersebut berlarutan lebih 10 tahun lalu yang turut disumbang oleh masalah kesesakan lalu lintas pada waktu puncak.

“Isu keselamatan jalan raya sudah banyak kali diajukan kepada pihak berkuasa termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor dan pernah diberitahu pada 2016 terdapat peruntukan sebanyak RM128 juta disediakan untuk menaik taraf jalan dan peringkat awal diberikan RM3 juta.

“Katanya RM3 juta akan melibatkan kerja-kerja pelebaran laluan di persimpangan lampu isyarat Alam Budiman yang menjadi punca kesesakan luar biasa serta lokasi kerap berlaku kemalangan, tetapi bila? Kita harap dan tengok adakah ia akan dilaksanakan tahun ini,” katanya ketika ditemui pada perhimpunan aman penduduk berhubung risiko kemalangan di Persiaran Mokhtar Dahari di sini, semalam.

Lebih 30 penduduk terutama dari Seksyen U10 berhimpun di hadapan pusat perniagaan Alam Budiman dengan membawa sepanduk dan replika jenazah sebagai tanda protes terhadap tahap keselamatan jalan raya yang didakwa dipandang ringan oleh pihak berkuasa.

Awal bulan lalu, akhbar ini melaporkan dua lelaki menemui ajal selepas kereta yang dipandu masing-masing iaitu Perodua Kancil dan Axia bertembung di Persiaran Mokhtar Dahari pada laluan antara Puncak Perdana dan Alam Budiman.

Naik taraf

Persiaran Mokhtar Dahari yang juga dikenali sebagai Lebuhraya Shah Alam – Batu Arang sudah pun melalui proses naik taraf pada dua tahun lalu dari persimpangan Puncak Perdana ke Persimpangan Alam Budiman melibatkan penambahan satu lorong bernilai RM2 juta.

Makluman daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor juga memaklumkan JKR Selangor merancang untuk melaksanakan projek naik taraf dengan anggaran kos RM23 juta menerusi Rancangan Selangor Kedua (RS2).

Pemerhatian Utusan Malaysia di laluan tersebut juga mendapati terdapat laluan berbahaya di antara Puncak Perdana dan Alam Budiman apabila terdapat curam berselekoh serta sebuah pembahagi jalan di susur masuk pertama ke pusat perniagaan Alam Budiman yang membahayakan pengguna di laluan utama.

Selain itu, struktur laluan yang tidak teratur dari dua kepada satu lorong di kawasan seperti di persimpangan lampu isyarat Alam Budiman, Greenhill Residence dan beberapa kawasan lain mencetuskan situasi bottle-neck dan kesesakan di sepanjang 17 kilometer Persiaran Mokhtar Dahari.

Persiaran Mokhtar Dahari
KESESAKAN teruk pada waktu puncak dan risiko kemalangan di Persiaran Mokhtar Dahari mencetuskan kebimbangan pemandu dan penduduk. – UTUSAN / AFIQ RAZALI

Trek ‘roller coaster’

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Greenhill Residence, Mohamad Zailani Johari, 57, mendakwa laluan turun bukit di antara Puncak Perdana dan Alam Budiman boleh diibaratkan seperti trek ‘roller coaster’.

“Selain di kawasan tersebut, kemalangan kerap berlaku di susur masuk dekat persimpangan lampu isyarat Alam Budiman dari arah Shah Alam sekali gus membahayakan pengguna yang sedang berhenti di lampu merah dari arah kawasan perumahan itu,” tegasnya.

Bagi Pengerusi Permuafakatan Persatuan Penduduk Puncak Alam, Mohd. Haniff Md. Sultan menegaskan keutamaan naik taraf perlu dibuat di persimpangan tersebut supaya kesesakan dapat disuraikan dan risiko kemalangan dikurangkan.

“Lebarkan jalan di laluan Puncak Alam – Shah Alam supaya pengguna yang hendak terus di laluan tersebut tidak perlu berhenti seperti mereka yang mahu masuk ke kawasan Alam Budiman. Jika tidak, pengguna terperangkap hampir sejam akibat persimpangan berkenaan,” katanya.

Maklumbalas JKR Selangor

Susulan itu, JKR Selangor dalam kenyataannya memaklumkan pihaknya merancang untuk menambah baik persimpangan Alam Budiman dengan menambah satu lorong jalan sepanjang 300 meter daripada arah Puncak Alam ke Shah Alam termasuk penambahan lampu jalan, naik taraf lampu isyarat dan kerja-kerja aspek keselamatan

“Untuk jangka panjang, JKR Selangor telah mengangkat permohonan menaiktaraf Jalan Persiaran Mohktar Dahari (B49) kepada 4 lorong termasuk menaiktaraf persimpangan utama bermula dari Persimpangan Lebuhraya Bertingkat Damansara – Shah Alam (Dash) sehingga ke Persimpangan Budiman Valley U15 di bawah RS2,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN