300 Rohingya ditahan babit 192 kes jenayah di Selangor

300 Rohingya ditahan babit 192 kes jenayah di Selangor

Jenayah Rohingya
SHAZELI Kahar ditemui pemberita pada sidang akhbar dekat Ibu pejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seramai 300 etnik Rohingya ditahan selepas didapati terlibat dalam 192 kes pelbagai jenayah seperti kekerasan dan melibatkan harta benda bagi tempoh 2025 hingga Mei lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, tahun lalu, sebanyak 140 kes dicatatkan melibatkan penangkapan 227 orang dalam kalangan komuniti itu.

“Manakala bagi Januari hingga Mei lalu, telah menangkap 73 orang membabitkan 52 kes. Namun, setakat ini tiada penglibatan etnik tersebut dalam kegiatan kongsi gelap.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa mengambil tindakan berterusan dan konsisten serta tidak bergantung kepada musim atau sentimen semasa,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau menambah, setakat maklumat diterima dan diproses dipercayai hampir seluruh daerah di Selangor mempunyai penempatan etnik Rohingya.

“Namun, jumlahnya tidak dapat dipastikan disebabkan ia dalam keadaan berselerak,” jelasnya.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, negara ini berdepan cabaran menempatkan semula pelarian Rohingya ke negara ketiga susulan masalah tiada yang mahu menerima kehadiran komuniti itu.

Penolakan tersebut berlaku berikutan geopolitik dunia semasa dan sentimen Islamofobia yang menyebabkan negara-negara terlibat enggan me­nerima pelarian beragama Islam.

Bagaimanapun, Malaysia sudah lama bekerjasama dengan negara-negara ketiga terbabit, namun penerimaan terhadap pelarian beragama Islam kini semakin berkurangan khususnya di Eropah dan juga Amerika Syarikat.

Jelas Shazeli, isu melibatkan etnik Rohingya sememangnya membimbangkan apabila berlaku sesuatu kejadian susulan terdapat kehadiran mereka yang tidak berdaftar.

“Ia menyukarkan proses pencarian atau pengesanan mereka. Jadi, identiti mereka dan kedudukan  mereka tidak ketahui. Ini adalah sesuatu membimbangkan.

“Namun, polis sentiasa bekerjasama rapat dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam bertukar maklumat selain melaksanakan enam operasi bersapdu pada tahun lalu sahaja,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN