KLANG: Seorang remaja dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan kepada seorang anggota polis trafik yang membuat sekatan jalan raya pada Isnin lalu.
Tertuduh Muhammad Irfan Jasman, 19, mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya.
Mengikut pertuduhan, dia yang bekerja sebagai pemandu sambilan e-hailing didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Koperal Ahmad Faidz Mat Jusoh yang sedang melaksanakan tugas sebagai seorang penjawat awam yang sah.
Kesalahan tersebut dilakukan kira-kira pukul 1 pagi dekat Persiaran Raja Musa Musa, di sini. Justeru dia dituduh di bawah Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga tiga tahun, denda atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Salman Alfarisi Nawawi kemudian memohon mahkamah mengenakan hukuman yang memberi pengajaran kepada tertuduh.
“Mohon juga kepada mahkamah supaya mengambil kira kecederaan yang dialami oleh mangsa (anggota polis) antaranya patah tulang rusuk seperti mana yang terdapat dalam laporan perubatan dikemukakan,” katanya.
Bagaimanapun, peguam mewakili tertuduh K. Nathiya memohon hukuman yang minimum dengan mengambil kira situasi anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap selain perlu menyara kedua-ibu bapanya.
“Tertuduh hanya akan bekerja tetap pada 2 Mei nanti. Dia baru dapat kerja. Dia juga masih bujang, bapa tidak bekerja serta ibu. Mohon hukuman yang minimum, tertuduh adalah pesalah muda dan itu merupakan kesalahan pertama,” ujarnya.
Majistrer Siti Zubaidah Mahat menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM3,000 dan penjara tiga bulan jika gagal membayarnya.
Di hadapan Majistret A. Khartiyayini, Muhammad Irfan turut membuat pengakuan sama terhadap pertuduhan menunggang motosikal secara melulu di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga lima tahun dan denda RM5,000 hingga RM15,000 selain lesen diendors serta hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen tidak kurang daripada lima tahu.
Majistret kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula pada 11 Jun selepas Timbalan Pendakwa Raya Nur Nadia Syuhada Rosli memaklumkan untuk mengemukakan laporan sosial. – UTUSAN










