Bekas pegawai Ikram dihadapkan 158 pertuduhan rasuah RM98 juta

Bekas pegawai Ikram dihadapkan 158 pertuduhan rasuah RM98 juta

Ikram rasuah
FAKHRUDIN Abd. Karim dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas 158 pertuduhan rasuah, di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Bekas pegawai Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Hulu Selangor berdepan hukuman denda hampir setengah bilion ringgit apabila dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas 158 pertuduhan rasuah berjumlah RM98.27 juta antara 2021 hingga tahun lalu.

Tertuduh, Fakhrudin Abd. Karim, 57, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan atas semua pertuduhan dibacakan secara berasingan lebih dua jam.

Mengikut pertuduhan, dia sebagai pegawai badan awam iaitu anggota Ikram merupakan penandatangan yang diberi kuasa kepada akaun bank milik Ikram Hulu Selangor didakwa menggunakan kedudukan untuk suapan bagi diri sendiri dan sekutunya iaitu syarikat Ehsan Care Solution.

Dia didakwa mengambil tindakan mengarahkan transaksi pemindahan dana ke dalam akaun bank yang mengenainya mempunyai kepentingan melibatkan transaksi wang antara RM100,000 hingga RM10 juta dengan keseluruhannya berjumlah RM98,270,315.20.

Secara pecahannya, 149 transaksi berjumlah RM81.95 juta ke akaun Ehsan Care Solution manakala sembilan transaksi sebanyak RM16,320,315.20 ke akaun bank milik tertuduh.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Pertubuhan Ikram Hulu Selangor, Bukit Beruntung, Hulu Selangor antara 6 Januari 2021 hingga 6 Ogos 2025.

Justeru, Fakhrudin didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Sabit kesalahan memperuntukkan penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Datuk Ahmad Akram Gharib kemudian menawarkan jaminan minimum RM1 juta ke atas tertuduh dengan mengambil kira faktor kepentingan awam dan nilai suapan.

Selain itu, beliau turut memohon syarat tambahan dikenakan iaitu serahan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, peguam mewakili tertuduh, Datuk N. Sivananthan memohon jumlah jaminan yang ditawarkan itu dikurangkan berikutan pembekuan semua akaun bank termasuk milik keluarga dana anak syarikat dibekukan oleh SPRM.

“Dia yang juga bapa kepada 10 anak mempunyai tujuh syarikat dan semua pekerjanya tidak dapat dibayar gaji selama tiga bulan kerana operasi terjejas. Selain itu, dia memberi kerjasama penuh kepada SPRM sepanjang proses siasatan sebelum ini,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM500,000 dengan dua penjamin dan semua syarat tambahan dikemukakan pendakwaan. Sebutan semula kes ditetapkan pada 7 Ogos depan.

April lalu, Utusan Malaysia melaporkan, tiga individu termasuk seorang timbalan pengerusi sebuah NGO ditahan SPRM kerana disyaki menyeleweng dana zakat  berjumlah kira-kira RM230 juta.

Selain itu, SPRM turut menyita 18 unit kenderaan mewah antaranya Porsche dan Mercedes selain rumah, hartanah bernilai kira-kira RM11 juta serta pelbagai harta alih lain termasuk wang tunai dan jam tangan berjenama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN