SHAH ALAM: Program Cabaran Kelestarian dan Inovasi Nasional Melati (NISMEC) 2026 persiap mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan kemahiran serta pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Program anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) yang dilaksanakan oleh Kolej Kediaman Melati itu memberi pendedahan mengenai peranan STEM dalam membentuk masyarakat yang berupaya menangani cabaran global melalui pendekatan saintifik dan inovatif.
Penasihatnya, Dr. Mohamad Hisyam Ismail berkata, ia bertujuan menggalakkan mahasiswa menghasilkan penyelesaian kreatif dan inovatif terhadap pelbagai isu serta cabaran yang dihadapi dalam persekitaran kampus dan universiti.
“Mahasiswa hari ini bakal menjadi pemimpin, pencipta teknologi dan agen perubahan masa hadapan. Oleh itu, mereka perlu didedahkan dengan budaya inovasi dan pemikiran STEM yang membolehkan mereka mengenal pasti isu sebenar, menghasilkan penyelesaian yang relevan serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara secara mampan.
”Program sedemikian turut membantu meningkatkan kemahiran abad ke-21 iaitu menggalakkan kolaborasi rentas disiplin serta memupuk keyakinan mahasiswa untuk meneroka bidang inovasi, penyelidikan dan keusahawanan berasaskan teknologi,” katanya dalam kenyataan di sini.
Tambahnya, menerusi NISMEC 2026, mahasiswa diberi peluang mengetengahkan idea inovatif berteraskan STEM dan kelestarian dalam mencungkil bakat dan potensi mahasiswa.
“Program itu mencerminkan komitmen UiTM dalam memperkasakan budaya inovasi, STEM dan kelestarian dalam kalangan mahasiswa selaras dengan aspirasi universiti dan agenda pembangunan pendidikan tinggi negara.
“Inisiatif itu turut menyokong aspirasi kerajaan dan Kementerian Pendidikan Tinggi menerusi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026 yang menekankan pembangunan bakat masa hadapan, inovasi dan kelestarian,” ujarnya.
Katanya lagi, NISMEC 2026 juga mendapat sokongan penuh dan kerjasama daripada Persatuan STEM Kebangsaan (NSA) sebagai penganjur bersama. – UTUSAN










