KLANG: Seorang ibu tunggal mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan sengaja meninggalkan bayi lelakinya di hadapan sebuah rumah dekat Kampung Rantau panjang, tiga minggu lalu.
Tertuduh, Nor Ain Shafina Norazman, 30, didenda RM1,500 dan diarah menjalani penjara satu bulan jika gagal membayarnya apabila membuat pengakuan demikian selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya.
Mengikut pertuduhan, bekas guru tadika itu didakwa sengaja meninggalkan bayi lelaki yang dilahirkannya dengan niat untuk membuang bayi tersebut. Kesalahan itu dilakukan dekat Jalan Rantau Panjang, Kampung Rantau Panjang pada pukul 11 pagi, 8 April lalu.
Justeru, dia dituduh di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, K. Nathiya memohon hukuman denda yang rendah selepas anak guamnya yang merupakan ibu kepada tiga orang anak berusia tiga hingga tujuh tahun itu diberhentikan kerja kerana terlibat kes jenayah.
“Dia sudah insaf dan tidak akan mengulangi kesalahan. Malah, dia juga berhasrat untuk mendaftarkan kelahiran bayinya itu di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebagai ibu kepada bayi berkenaan,” katanya.
Kemudian, Timbalan Pendakwa Raya, Salman Alfarisi Nawawi memohon hukuman berbentuk pencegahan sebagai pengajaran kepada tertuduh. – UTUSAN










