‘Buktikan dulu DAP, PKR belanja lebih PRU15’

‘Buktikan dulu DAP, PKR belanja lebih PRU15’

FONG KUI LUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: DAP mencabar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengemukakan bukti sekiranya parti itu dan PKR menggunakan peruntukan berlebihan daripada jumlah yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Bendahari DAP, Fong Kui Lun berkata, oleh itu partinya dan PKR enggan melayan gesaan Bersatu yang mahu gabungan tersebut mengemukakan penyata kewangan hanya kerana apabila akaun Bersatu di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dibekukan.

“Bagi bukti dulu, cakap saja tak ada guna. Kalau Bersatu ada bukti yang kita belanja lebih daripada peruntukan SPR tetapkan, baru kita akan keluarkan akaun penyata.

“Buang masa sahaja layan, saya cabar mereka untuk bagi bukti,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Untuk rekod, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan beberapa akaun milik Bersatu dibekukan pada 1 Februari lalu di mana Ketua Peseruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, akuan terbabit dibekukan untuk membantu siasatan ke atas wang yang disyaki daripada hasil haram.

“Siasatan sedang dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram,” katanya seperti dilapor.

Susulan itu, mantan Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin Datuk Dr. Marzuki Mohamad menggesa PKR dan DAP mendedahkan akaunnya termasuk akaun amanah yang dipegang bagi pihak parti itu.

Cabaran itu selepas beliau mengongsikan penyata kewangan 2020 dan 2021 yang sudah diaudit di sebalik pelbagai dakwaan mengaitkan kononnya parti itu menerima RM4 bilion daripada RM92.5 bilion dana Pakej Rangsangan Ekonomi.

Dalam perkembangan sama, Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung ketika dihubungi meminta Utusan Malaysia mendapatkan butiran lanjut daripada Bendahari Agung, William Leong.

Bagaimanapun, William yang juga bekas Ahli Parlimen Selayang gagal dihubungi bagi mendapatkan perkembangan berhubung perkara itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN