Adam Radlan didakwa dua lagi pertuduhan, suapan RM4.1 juta - Utusan Malaysia

Adam Radlan didakwa dua lagi pertuduhan, suapan RM4.1 juta

Adam Radlan
ADAM Radlan (kiri) bersama peguamnya Rajan Navaratnam di hadapan kamar Mahkamah Sesyen, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini, atas dua pertuduhan menerima suapan RM4.1 juta berkaitan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Adam Radlan, 42, yang juga ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan pertama, dia  didakwa menerima suapan wang RM2 juta daripada seorang individu sebagai upah membantu syarikat Nepturis Sdn. Bhd. mendapatkan projek Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara yang bernilai RM141 juta.

Bagi pertuduhan kedua, Adam Radlan didakwa menerima suapan wang RM2.1 juta daripada seorang pengarah urusan syarikat MIE Infrastructure & Energy Sdn. Bhd. sebagai upah membantu syarikat berkenaan memperoleh projek membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada kerajaan yang keseluruhannya bernilai RM47.8 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Jaya One, Petaling Jaya, masing-masing antara 26 November 2021 hingga 2 Disember 2022 dan 4 April 2022 hingga 5 Januari lalu.

Pendakwaan bagi dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Sabit kesalahan, seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau denda RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Allan Suman Pillai mencadangkan kos ikat jamin tertuduh sebanyak RM1 juta dengan dua penjamin selain melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan

“Amaun yang terlibat bagi dua pertuduhan itu melibatkan nilai keseluruhan RM4.1 juta. Justeru, jaminan RM500,000 bagi setiap pertuduhan ke atas tertuduh adalah berpatutan dan munasabah,” katanya.

Peguam Datuk Seri Rajan Navaratnam yang mewakili Adam Radlan bagaimanapun memohon pengurangan berikutan anak guamnya memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM sepanjang proses siasatan.

“Beliau juga tidak pernah dituduh atas mana-mana kesalahan jenayah sebelum ini. Selain itu, anak guam mempunyai tanggungan seorang ibu dan empat anak berusia sembilan hingga 16 tahun,” jelasnya.

Rozilah membenarkan tertuduh diikat jamin RM600,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan memenuhi syarat tambahan dicadangkan pendakwaan. Sebutan semula kes ditetapkan pada 14 April depan.

Semalam, Adam Radlan turut tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan rasuah berjumlah RM500,000 berkaitan projek Jana Wibawa.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang dihadapkan ke mahkamah sama turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan rasuah RM6.9 juta melibatkan projek bernilai RM232 juta tahun lalu.

Jana Wibawa diperkenalkan ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mempercepatkan pelaksanaan projek dan meningkatkan ekonomi negara sewaktu pandemik Covid-19. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN