Unimap anjur sambutan Tahun Baharu Cina, pupuk semangat perpaduan - Utusan Malaysia

Unimap anjur sambutan Tahun Baharu Cina, pupuk semangat perpaduan

ZALIMAN Sauli (kanan) beramah-mesra bersama pelajar-pelajar Unimap sewaktu sambutan perayaan Tahun Baharu Cina peringkat institusi itu yang berlangsung di perkarangan Bangunan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Unimap, Pauh, Perlis. -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Universiti Malaysia Perlis (Unimap) menganjurkan sambutan Tahun Baharu Cina dalam usaha merealisasikan hasrat kerajaan untuk mengeratkan aspek perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Majlis yang diadakan di perkarangan Bangunan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Unimap itu berlangsung meriah dengan penglibatan pelajar Melayu, Cina, India, Kadazan, Bidayuh dan lain-lain.

Naib Canselor Unimap, Prof. Dr. Zaliman Sauli berkata, institusi pengajian tinggi (IPT) itu mempunyai warga berbilang kaum dan perbezaan budaya atau kepercayaan itu tidak seharusnya menjadi penghalang bagi setiap pihak untuk saling hormat-menghormati.

“Sebagai sebuah negara yang berbilang kaum, rakyat Malaysia khususnya warga Unimap amat bertuah kerana berpeluang menyambut pelbagai perayaan yang kaya dengan keamanan dan kebudayaan.

“Keadaan ini akan membuat kita lebih menghargai serta memerlukan satu sama lain sekali gus melahirkan sifat bantu-membantu dalam pelbagai perkara khususnya sepanjang pelajar mengikuti pengajian di universiti ini,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan berkenaan yang dianjurkan oleh Pusat Pembangunan dan Perkhidmatan Pelajar Unimap, semalam.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Pengarah P3P, Prof Madya Ir Dr Mohd Arif Anuar Mohd Salleh, Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Kimia (FKTK), Prof Dr Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah, Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Awam (FKTA), Prof Madya Dr Che Zulzikrami Azner Abidin dan Pengarah program, Mohamad Hafiz Mohamad Shokri.

Selain sesi jamuan, majlis itu turut dimeriahkan dengan penganjuran aktiviti kuiz berkaitan perayaan Tahun Baharu Cina serta persembahan kebudayaan oleh pelajar dan kakitangan Unimap.

Dalam pada itu, seorang pelajar tahun satu Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Kimia Unimap, Bee Kah Ee berkata, pihaknya amat teruja dengan sambutan Tahun Baharu Cina di institusi itu yang dianjurkan secara meriah bersama penglibatan pelajar-pelajar kaum lain.

“Saya juga tertarik dengan persembahan tarian kipas dan nyanyian lagu Cina yang turut dipersembahkan oleh rakan-rakan yang berbeza kaum,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pelajar institusi berkenaan, Ang Sian Feng berkata, penganjuran majlis itu amat menarik memandangkan turut diselitkan dengan beberapa aktiviti seperti kuiz, persembahan pelajar dan gimik pelancaran bagi memperkenalkan budaya kaum Cina.

Ujarnya, usaha ini bukan sahaja dapat mengeratkan silaturahim antara pelajar malah turut memberi lebih banyak pengetahuan kepada rakan-rakan lain.

“Pelajar dapat didedahkan dengan kebudayaan orang Cina menerusi aktiviti kaligrafi, hidangan Yee Sang dan pemberian limau mandarin oleh Naib Canselor sendiri,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya