Tak perlu ke Siam, datang ke Perlis untuk poligami

Tak perlu ke Siam, datang ke Perlis untuk poligami

MEREKA yang ingin berpoligami tidak perlu ke Thailand kerana Perlis tidak wajibkan dapat kebenaran isteri pertama untuk berbuat demikian. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pasangan yang berhasrat bernikah di Thailand atas faktor poligami boleh ‘menghalal­kan’ hubungan tersebut di negeri ini tanpa perlu ke negara jiran.

Sebagai rekod, Perlis merupakan satu-satunya negeri yang syaratnya tidak memerlukan persetujuan isteri pertama untuk bernikah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Muhammad Hafeez Abu Seman berkata, urusan poligami sama sahaja di seluruh negara, cuma bezanya Perlis tidak memerlukan persetujuan isteri pertama.

Katanya, mana-mana pasangan berhasrat berpoligami perlu memaklumkan kepada Mahkamah Syariah yang akan menentukan sama ada layak atau sebaliknya berpoligami.

“Mahkamah akan nilaikan dari segi kelayakan khususnya kemampuan, kesihatan dan sebagainya sama ada layak berpoligami atau sebaliknya. Kalau individu itu layak berpoligami tidak ada masalah.

“Tidak semestinya maklum kepada isteri pertama untuk berpoligami melainkan ada keperluan dan Mahkamah Syariah juga tidak terikat memaklumkan kepada isteri pertama dalam soal poligami ini,” katanya.

Isu kahwin di Thailand kembali menjadi polemik selepas selebriti terkenal, Syamsul Yusof mengakui bernikah buat kali kedua dengan Ira Kazar di Thailand, kelmarin.

Pengarah filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu mengejutkan dunia seni hiburan tanah air dengan mendedahkan dirinya sudah mengahwini Ira berwalikan ayah mentuanya yang juga pelakon, Kazar Saisi.

Pengumuman tersebut secara tidak langsung menamatkan spekulasi hubungan Syamsul dengan Ira yang didakwa berlangsung sejak empat tahun lalu.

April tahun lalu, Utusan Malaysia pernah melaporkan, pasangan yang berhasrat bernikah di Thailand atas faktor poligami digalakkan ‘menghalalkan’ hubungan tersebut di Perlis sahaja yang tidak memerlukan persetujuan isteri pertama untuk bernikah.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Ruzaini Rais ketika itu dilapor­kan berkata, pasangan dari negeri lain juga boleh mendaftar untuk berkahwin mengikut prosedur dan syarat yang ditetapkan.

Kata beliau, lazimnya, pasa­ngan yang bernikah di Thailand perlu bermalam di negara itu satu malam bagi mendapat surat pengesahan nikah dari Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla.

Sementara itu, seorang ejen yang hanya dikenali sebagai Razmi berkata, kira-kira 40 pasangan melangsungkan perkahwinan di Thailand atau sekurang-kurangnya lima pasangan sehari.

Katanya, mereka terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat sehingga golongan berprofil tinggi seperti Datuk, Datuk Seri dan Tan Sri.

“Pelbagai pakej disediakan oleh ejen bermula antara RM3,500 hingga RM5,000 mengikut kemudahan yang disediakan.

“Buat masa ini terdapat pe­ningkatan harga sehingga RM1,000 untuk setiap pakej kerana faktor nilai mata wang selain kos penginapan kerana setiap pasangan kini perlu menginap di Thailand sekurang-kurangnya dua hari satu malam,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambahnya, bagi pakej high end atau lebih mahal, biasanya pasangan pengantin akan menginap kira-kira seminggu untuk percutian bulan madu di hotel lebih mewah.

Kata Razmi lagi, golongan berprofil tinggi atau orang terkenal biasanya tidak akan menggunakan van milik ejen sebaliknya akan bergerak menggunakan kenderaan biasa.

“Ada juga pasangan akan menaiki kapal terbang atau pengangkutan awam sebelum dijemput ejen menggunakan kenderaan persendirian yang bukan milik ejen tersebut.

“Malah ada juga pasangan datang berasingan selain beberapa kali bertukar kenderaan termasuk di negara jiran bagi mengelakkan pergerakkan mereka disedari orang awam,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN