PETALING JAYA: Setiap maklumat mahupun aduan berkaitan isu penyelewengan dan rasuah yang didedahkan mana-mana individu dalam laman sosial sentiasa diteliti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum tindakan penyiasatan dilakukan.
Menjelaskan kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, adalah menjadi tanggungjawab SPRM untuk membuat siasatan yang sewajarnya apabila ada sesuatu laporan dan pendedahan yang dibuat.
Namun, kata beliau, jika pendedahan dibuat dalam laman sosial ia perlu diteliti terlebih dahulu bagi memastikan kesahihan kenyataan itu betul atau palsu.
“Jika didapati ada perlakuan kesalahan di bawah Akta SPRM 2009, barulah SPRM akan menyiasat mana-mana aduan itu sebagaimana yang difikirkan mengikut peruntukan undang-undang berkenaan,” katanya di sini semalam.
Dalam pada itu, kata Abu Zahar, SPRM akan menggunakan budi bicaranya untuk melakukan siasatan lanjut atau sebaliknya bergantung kepada maklumat yang didedahkan.
Sementara itu, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim dalam satu kenyataan memberitahu, semua aduan dan maklumat perbuatan rasuah mestilah disiasat secara adil dan saksama.
Jelas beliau, tidak boleh ada andaian atau persepsi bahawa ada amalan penguatkuasaan terpilih.
“Individu yang ditohmah harus bersedia membersihkan namanya dengan cara yang betul dan bukan dengan menggunakan kuasa atau pengaruh politik.
“MCW juga mendesak agar pendakwaan dijalankan secara profesional, benar-benar adil dan tidak ada unsur pendakwaan terpilih,” ujarnya.
Kata beliau lagi, pentadbiran kerajaan perlu bebas daripada campur tangan politik supaya semua urusan pentadbiran perkhidmatan awam adalah hasil penyampaian perkhidmatan yang cemerlang dan sistem perolehan berasaskan tadbir urus yang baik serta telus.
“Value for money dan kepentingan rakyat mestilah mengatasi lain-lain faedah.
“Kita harus berupaya membangunkan nilai budaya bangsa Malaysia yang bermaruah dan patuh kepada sistem governans selain bertekad menjadikan negara bebas rasuah,” katanya. – UTUSAN










