Sindiket tenaga kerja asing tumpas, kaut untung hampir RM1 juta

Sindiket tenaga kerja asing tumpas, kaut untung hampir RM1 juta

KHAIRUL Dzaimee Daud menunjukkan pasport yang dirampas dalam sindiket membekalkan tenaga kerja dan PLKS palsu di Jabatan Imigresen, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Risikan tiga bulan dan langkah penyamaran anggota penguat kuasa imigresen sebagai pekerja asing dan majikan berbaloi apabila satu sindiket membekalkan tenaga kerja asing berjaya ditumpaskan semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, sindiket beroperasi di Klang, Selangor sejak lapan bulan lalu itu turut menahan tujuh suspek berusia 28 hingga 50 tahun.

Beliau berkata, turut ditahan dalang utama sindiket iaitu dua lelaki warga Bangladesh termasuk tiga lelaki dari negara sama dan dua warga tempatan termasuk isteri dalang sindiket berkenaan.

“Siasatan mendapati, sindiket didapati mengeluarkan dokumen dan pelekat pas lawatan kerja sementara (PLKS) palsu dan mengaut keuntungan sehingga RM800,000 setakat ini.

“Sindiket menyasarkan warganegara asing yang tidak mempunyai PLKS yang sah atau mereka yang tidak mempunyai sebarang dokumen.

“Setiap pekerja asing perlu membayar antara RM5,000 hingga RM6,000 bagi mendapatkan pelekat PLKS dan pekerja asing ini kemudian akan dibekalkan kepada kilang atau syarikat lain yang memerlukan pekerja,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Katanya, turut dirampas 62 pasport pelbagai negara serta 17 pasport Bangladesh disyaki palsu, 13 disyaki PLKS palsu dan wang tunai berjumlah RM 234,000 serta sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux bernilai RM120,000.

Khairul berkata, sindiket didapati menubuhkan sebuah syarikat pembinaan dengan tujuan mengaburi pihak berkuasa, syarikat dan majikan yang terdesak untuk mendapatkan sumber tenaga kerja dengan cepat.

Menurutnya, kesemua suspek disiasat mengikut Akta Pasport 1966, Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

“Kesemua suspek warganegara asing ditahan di Depot Imigresen Putrajaya dan dua suspek warganegara Malaysia ditahan untuk siasatan di bawah akta yang sama,” katanya.

Katanya, pihaknya menasihatkan syarikat dan majikan supaya menyertai Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 bagi mendapatkan sumber pekerja asing yang sah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya