KOTA KINABALU: Cadangan mewujudkan Kerajaan Perpaduan dilihat sebagai penamat kepada kemelut politik Sabah.
Apa yang menjadi persoalan adakah Datuk Seri Hajiji Noor akan kekal sebagai Ketua Menteri di bawah Kerajaan Perpaduan yang akan dibentuk bersama semua parti di negeri ini.
Biarpun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi restu kepada Hajiji untuk kekal sebagai Ketua Menteri namun, masih perlu dilihat dari aspek Perlembagaan Negeri Sabah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penerangan Parti Warisan (Warisan), Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, semua parti bersetuju dengan cadangan Anwar untuk membentuk Kerajaan Perpaduan.
Sementara itu, majlis angkat sumpah ahli Jemaah Menteri Sabah dijadualkan berlangsung di Istana Negeri pukul 10 pagi ini.
Namun, siapa akan terajui Kerajaan Perpaduan itu perlu dibincangkan melalui Jawatankuasa Khas yang perlu dibentuk dan dianggotai oleh parti-parti politik Sabah.
“Seperti telah dikatakan sebelum ini Hajiji tidak mempunyai kelayakan untuk kekal sebagai Ketua Menteri dari sudut Perlembagaan Negeri.
“Kedudukan Hajiji sekarang yang tidak mempunyai parti perlu diambil kira kerana dalam Perlembagaan Negeri cukup jelas bahawa Ahli Dewan yang dilantik haruslah ketua parti yang mempunyai majoriti terbesar,” katanya.
Mohd. Azis berkata, buat masa ini Warisan masih menunggu pembentukan Jawatankuasa Khas bagi menentukan kepemimpinan Kerajaan Perpaduan Sabah selaras cadangan Perdana Menteri kelmarin.
“Setelah jawatankuasa itu dibentuk, kita akan lihat bagaimana keadaan selepas itu,” katanya.
Kelmarin, Anwar dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengadakan pertemuan selama sejam dengan BN Sabah, Warisan dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) di sebuah hotel terkemuka di Kota Kinabalu.
Kemudian, beliau bertemu dengan Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Pertemuan di Sri Gaya yang berakhir kira-kira pukul 12 tengah malam itu bagaimanapun tidak menyebut tentang Kerajaan Perpaduan.
Bagaimanapun Anwar memberi restu kepada Hajiji untuk kekal sebagai Ketua Menteri Sabah. Kerajaan Sabah dilihat akan terus kukuh di bawah pimpinan Hajiji.
Justeru, beliau meminta agar diberi ruang kepada Hajiji untuk berbincang dan mencari formula yang baik untuk Sabah. – UTUSAN










