Rizab Melayu diganti tanah nilai lebih rendah

Rizab Melayu diganti tanah nilai lebih rendah

KERATAN akhbar Utusan Malaysia 2 Januari 2023.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tanah rizab Melayu seluas 46.7 hektar di Sitiawan, Perak yang dibatalkan status rizab didapati diganti dengan tanah lain yang jauh lebih rendah nilai pasarannya iaitu kerugian seba­nyak RM37.7 juta.

Ini kerana harga pasaran tanah rizab Melayu asal di Sitiawan dianggarkan lebih RM50 juta, namun ia digantikan dengan tanah lain di Kampar, Perak yang hanya bernilai kira-kira RM12.3 juta.

Selain itu, beberapa kawasan tanah rizab Melayu di Perak yang dipindah milik dan digantikan dengan kawasan lain, didapati tidak menepati kriteria tanah rizab yang dibatalkan.

Sebabnya, ia digantikan dengan tanah lain yang berpaya, kering, berpasir, pamah, semak dan kawasan lombong.

Sedangkan, dalam Perkara 89 Perlembagaan Persekutuan menetapkan, jika kawasan rizab Melayu itu dibatalkan sama ada ke­seluruhan atau sebahagian daripadanya, maka satu kawasan lain di dalam negeri itu yang sama jenis (similar in character) dan sama luas­nya dengan kawasan yang dibatalkan itu hendaklah serta-merta diisytiharkan sebagai ganti.

Perkara ini didedahkan Jabatan Audit Negara (JAN) dalam Laporan Ketua Audit Negara 2019, Siri 2 – Aktiviti Jabatan dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 28 September 2021.

Menurut laporan tersebut, terdapat pengisytiharan tanah rizab Melayu di Mukim Kampar, Kampar seluas 76.704 hektar bagi tujuan penggantian pembatalan dua lot tanah rizab Melayu di Wilayah Felcra Lekir, Mukim Setiawan seluas 46.771 hektar.

Namun, berdasarkan laporan tanah bertarikh 6 Ogos 2013 oleh Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kampar, tapak ganti tersebut adalah berbukit tinggi dan berkecerunan lebih kurang 60⁰.

“Kawasan tersebut juga adalah tadahan air bagi kawasan persekitaran Bandar Baru Kampar. Selain itu, tapak ganti kurang sesuai untuk dibangunkan berbanding tanah rizab Melayu yang dibatalkan.

“Nilai pasaran tapak ganti pada bulan Januari 2021 dianggarkan RM12.3 juta oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

“Penilaian tersebut lebih rendah berbanding nilaian di Wilayah Felcra Lekir, Mukim Setiawan yang dianggarkan melebihi RM50 juta. Ini kerana faktor lokasi Wilayah Felcra Lekir, Mukim Setiawan yang berhampiran Lebuh Raya Pantai Barat,” kata laporan tersebut.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, pengurusan tanah rizab Melayu di Perak dikesan kurang cekap sehingga mengakibatkan sekurang-kurangnya 3,214 hektar tanah rizab Melayu di Mukim Jaya Baru dan Sitiawan dipindah milik kepada bukan Melayu secara tidak sah.

Tindakan itu bertentangan dengan Seksyen 19 Enakmen Rizab Melayu 142 dan tidak mengikut Seksyen 419 Kanun Tanah Negara.

Dalam pada itu, menurut laporan JAN, lawatan Audit pada 14 Disember 2020 ke tapak ganti di Kampar mendapati kawasan itu masih dilitupi hutan belukar.

“PDT Kampar juga memaklumkan kawasan sekitar tapak ganti tidak dibangunkan oleh pemaju kerana faktor muka bumi kawasan tersebut,” kata laporan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN