Pertemuan Anwar, Jokowi misi penting ‘lato-lato’ 2023

Pertemuan Anwar, Jokowi misi penting ‘lato-lato’ 2023

ANWAR Ibrahim bersama isteri, Dr. Wan Azizah Wan Ismail tiba di Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta sempena lawatan rasmi selama dua hari ke Indonesia, semalam.- PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FOKUS 

CUACA di Jakarta sepanjang dua hari ini panas dan berangin, sekitar 31 darjah Celsius. Di sepanjang laluan kaki lima berhampiran Monumen Selamat Datang di Jakarta Pusat penuh dengan orang ramai khususnya anak muda ‘melepak’ sambil menikmati lalu lintas ibu kota yang tak pernah ‘mati’.

Di hadapannya ada stesen MRT Bundaran HI, yang masih segar, turut dipenuhi anak muda yang mahu bergambar kerana disediakan platform berlatarbelakang Monumen Selamat Datang.

Semalam dan hari ini adalah detik baharu bagi Indonesia dan Malaysia. Bagaikan sinonim, ba­nyak acara di Grand Hyatt Jakarta yang terletak berdepan Monumen Selamat Datang, seakan-akan menyam­but penuh gembira ‘tetamu baharu’ yang bakal ‘mendam­pingi’ Bapak Jokowi (Joko Widodo) mendepani cabaran ekonomi 2023.

Selamat datang ke Jakarta, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kunjungan rasmi pertama beliau ke luar negara selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10, November lalu.

Sambil ditemani isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, media-media di Indonesia juga teruja dengan kehadiran Anwar, yang popular dengan laungan reformasi sekitar 1990-an.

Menurut Kementerian Luar, Anwar akan bertemu Jokowi di Istana Bogor, istana yang menjadi kantor (pejabat) urusan kepresidenan dan kediaman rasmi Presiden Indonesia.

Dari hal tenaga kerja Indonesia (TKI) sehingga permasalahan berkaitan diskriminasi minyak sawit, Malaysia menunjukkan minat untuk menjadi antara pelabur utama Ibu Kota Nusantara (IKN) yang bakal mengubah landskap Indonesia.

Penyertaan Malaysia itu juga menandakan satu ikatan kuat rumpun nusantara ini untuk bersama melangkah ke era baharu. Era yang tidak lagi memandang Malaysia itu ‘seteru’ utama Indonesia dan Indonesia itu ‘musuh’ Malaysia. Sebaliknya, ini sebagai satu bentuk ‘reformasi’ hubungan dua hala Malaysia-Indonesia.

Hari ini, selain pertemuan bersama Jokowi di Istana Bogor, Anwar akan menyampaikan kuliah umum berjudul ‘Hubu­ngan Strategik Malaysia Indonesia’ di Menara Bank Mega.

Pastinya apa yang diperkatakan, apa yang dibincangkan bersama Jokowi akan dikongsi kepada umum dalam kuliah berkenaan, seterusnya menghurai sejauh mana pentingnya hubungan strategik itu.

Cabaran ekonomi 2023 pasti menjadi topik utama dibincangkan. Ini selepas Jokowi pernah memberi amaran keras kepada warga Indonesia agar berhati-hati menghadapi tahun 2023.

Dalam ucapan perasmian pembukaan perdagangan Bursa Saham Indonesia 2023 baru-baru ini, Jokowi berkata: “Pada tahun 2023 ini adalah tahun ujian bagi ekonomi global mahupun ekonomi kita. Kita tetap harus hati-hati, tetap waspada.”

Dari Putrajaya ke Istana Bogor, Anwar juga ambil maklum cabaran ditegaskan Jokowi itu.

Seperti permainan lato-lato yang kini popular di Jakarta, Jokowi juga pernah memainkanya. Ia memerlukan satu keseimbangan yang kuat pada tangan, salah bermain, tidak akan membuahkan hasil seperti diharapkan.

Begitu jugalah dalam kehidupan dan kuasa yang dipegang pemimpin ketika ini. Lato-lato popular sekitar 1980-an, berbentuk dua bola seperti bola pingpong yang diikat pada tali dan dihayun menggunakan kekuatan tangan. – UTUSAN

  • METRA SYAHRIL MOHAMED melaporkan dari Jakarta, Indonesia
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN