Pemilik syarikat perancang perkahwinan tipu pengantin ditahan polis - Utusan Malaysia

Pemilik syarikat perancang perkahwinan tipu pengantin ditahan polis

SUSPEK wanita (depan, kiri) bersama suaminya dibawa untuk mendapatkan perintah reman di Mahkamah Majistret Yan. -UTUSAN/ OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN: Sepasang suami isteri yang merupakan pemilik sebuah syarikat perancang perkahwinan ditahan polis, semalam susulan laporan dibuat terhadapnya selepas disyaki menipu pengantin baharu, baru-baru ini.

Pasangan berusia lingkungan 30-an itu ditahan di Gurun kira-kira pukul 6 petang setelah polis menerima empat laporan daripada mangsa yang menempah pakej perkahwinan daripada suspek untuk mengadakan majlis pada Disember dan Oktober lalu.

Kedua-dua mereka juga dikenakan tahanan reman selama tiga hari bermula hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Perintah reman terbabit dikeluarkan Majistret Anis Suraya Ahmad selepas menerima permohonan daripada polis di Mahkamah Majistret Yan, di sini hari ini.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan impian empat pasangan pengantin baharu untuk meraikan hari bahagia dengan majlis kenduri yang penuh meriah serta dihadiri ramai tetamu musnah apabila ditipu sebuah syarikat perancang perkahwinan.

Malah majlis yang dirancang rapi sebelum ini untuk dijadikan kenangan manis seumur hidup bertukar menjadi huru-hara apabila syarikat terbabit tidak memenuhi pakej perkahwinan yang telah dipersetujui bersama.

Selain terpaksa berhutang kerana perlu mengeluarkan kos baharu dan tambahan untuk menyediakan peralatan dan perkhidmatan katering yang gagal disediakan mereka juga menanggung malu kepada jemputan kerana majlis tidak berlangsung seperti yang diharapkan.

Kesemua mangsa penipuan itu kemudian sepakat membuat laporan polis kerana ingin menuntut ganti rugi selepas usaha menghubungi pasangan suami isteri yang mengendalikan syarikat itu gagal. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya