Pasangan tipu pengantin akan ditahan - Utusan Malaysia

Pasangan tipu pengantin akan ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Pemilik syarikat perancang perkahwinan yang didakwa menipu dan tidak memenuhi pakej yang dipersetujui hingga menyebabkan majlis empat pasangan pengantin huru-hara akan ditahan untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, penahanan suami isteri berusia 30-an yang merupakan pemilik bersama syarikat itu akan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda.

“Ya kita telah membuka kertas siasatan dan akan membuat penangkapan untuk merakam keterangan suami isteri itu selepas menerima empat laporan polis yang dibuat mangsa-mangsa.

“Laporan hasil siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan itu akan diserahkan kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, akhbar ini mela­porkan impian empat pasa­ngan pengantin baharu untuk meraikan hari bahagia dengan majlis kenduri yang penuh meriah serta dihadiri ramai te­tamu musnah apabila mendakwa ditipu sebuah syarikat perancang perkahwinan.

Malah majlis yang dirancang untuk dijadikan kenangan manis seumur hidup bertukar huru-hara apabila syarikat terbabit didakwa tidak memenuhi pakej perkahwinan seperti dipersetujui bersama.

Selain terpaksa berhutang kerana perlu mengeluarkan kos baharu dan tambahan untuk menyediakan peralatan dan perkhidmatan katering yang gagal disediakan, mereka juga menanggung malu kepada jemputan kerana majlis tidak berlangsung seperti yang diharapkan.

Kesemua mangsa penipuan itu kemudian sepakat membuat laporan polis kerana ingin menuntut ganti rugi selepas usaha menghubungi suami isteri yang mengendalikan syarikat itu gagal.

Sementara itu, Zaidy berkata, setakat ini pihaknya tidak lagi menerima laporan baharu yang dibuat mangsa penipuan pakej perkahwinan membabitkan pasangan terbabit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN