Tipu pengantin: Pemilik butik dipenjara setahun, disebat  - Utusan Malaysia

Tipu pengantin: Pemilik butik dipenjara setahun, disebat 

HASMERUN Hashim dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan menipu bakal pengantin hingga kerugian RM9,000. -UTUSAN/NORLIZAH ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Seorang pemilik butik pengantin di Raub, Pahang dihukum penjara setahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu bakal pengantin dalam urusan khidmat perancang perkahwinan melibatkan kerugian RM9,000 tahun lalu.

Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim turut memerintahkan Hasmerun Hashim, 31, dikenakan satu kali sebatan atas kesalahan itu. 

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan niat curang menipu pelanggan wanita berusia 29 tahun sehingga mangsa menyerahkan wang secara berperingkat dalam dua transaksi berjumlah RM9,000 ke akaun bank CIMB atas nama ‘Arjuna Cinta Wedding’ milik tertuduh.

Dia dituduh memperdayakan bakal pengantin itu dalam urusan mendapatkan khidmat perancang perkahwinan yang mana mangsa tidak akan menyerahkannya jika tidak diperdayakan.

Kesalahan dilakukan di sebuah kondominium di Taman Shamelin Perkasa di sini, pada 23 dan 25 Ogos 2023.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak kurang satu tahun dan tidak lebih dari sepuluh tahun dan dengan sebat, dan juga dikenakan denda.

Semasa prosiding, Hasmerun yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman ringan kerana perlu menanggung ibu bapa yang uzur, adik dan anak saudaranya selain memohon agar tidak dikenakan sebatan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin Akbal memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran manakala tiada sebarang keadaan istimewa untuk menggugurkan hukuman sebat.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya