Nasib Khairy diketahui esok?

Nasib Khairy diketahui esok?

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Lembaga Disiplin UMNO di Menara Dato Onn di sini semalam dipercayai menyentuh tindakan yang bakal dikenakan terhadap bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.

Difahamkan perbincangan itu hanya membabitkan pengurusan Lembaga Disiplin UMNO dan hasilnya akan diteliti dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) esok.

Desas-desus status keanggotaan Khairy dalam parti mula timbul apabila Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan mengesahkan perkara itu akan diketahui petang semalam.

Mohamad mengesahkan perkara itu dalam sidang media selepas membuat tinjauan kerja ke tapak pembinaan perumahan program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Sungai Besi, semalam.

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan beliau menyerahkan sepenuhnya tindakan terhadap bekas Ketua Pemuda UMNO itu kepada Lembaga Disiplin parti dan Timbalan Presiden UMNO.

Perkara itu ekoran kenyataan Khairy ketika Perhimpunan Agung UMNO 2022 yang mendakwa wujud kepincangan ketika proses pengundian usul Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

Menerusi satu video di akaun Tik Tok, Khairy berkata, tindakan itu dipercayai bagi membolehkan perwakilan ‘import’ dibawa masuk untuk sorak dan ‘bulldoze’ usul supaya kedua-dua jawatan tidak dipertandingkan.

Beliau pada masa sama hairan penambahan usul itu dibentangkan oleh pembahas dari Negeri Sembilan, Mohd. Shukri Samsudin yang merupakan orang Rembau.

Sedangkan menurut Khairy, Tmbalan Presiden sendiri iaitu Mohamad adalah Ketua UMNO Bahagian Rembau.

Menurut Fasal 20.10 Perlembagaan UMNO bahawa dipecat, digantung atau dilarang daripada bertanding bagi mana-mana jawatan pemilihan UMNO merupakan antara keputusan terhadap ahli yang melanggar arahan parti.

Selain dipecat, antara tindakan lain adalah amaran atau lain-lain tindakan hukuman yang difikirkan wajar dan selaras dengan Perlembagaan ini.

Perkara itu hanya diputuskan setelah Lembaga Disiplin atau Jawatankuasa Disiplin setelah mendengar dan berpuas hati terhadap pelanggaran Perlembagaan atau tataetika ahli UMNO dengan mengenakan hukuman mengikut kuasa tertakluk peraturan parti itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN