KUALA LUMPUR: Kebanyakan perwakilan UMNO yang ditemui Utusan Malaysia inginkan kepemimpinan baharu dalam UMNO, terutamanya melibatkan empat jawatan tertinggi parti itu.
Empat peringkat itu membabitkan jawatan presiden, timbalan presiden, naib presiden dan setiausaha agung.
Bagaimanapun, mereka yang ditemui dalam Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) tidak mahu mendedahkan nama dan bahagian, namun itu adalah hasrat sebenar mereka.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang perwakilan dari Bahagian di Wilayah Persekutuan yang enggan dikenali berkata, pembaharuan itu diperlukan dalam usaha meremajakan UMNO.
Katanya, langkah itu penting supaya dapat menarik semula perhatian rakyat terhadap parti itu, terutamanya golongan muda.
“Kita mahu pembaharuan dalam UMNO…perlu perubahan kepemimpinan untuk meremajakan parti.
“Sebab kita nampak rakyat terutama anak muda banyak menolak apa yang dilakukan (pemimpin) UMNO lama,” katanya.
Terdahulu, seramai 2,838 perwakilan daripada semua peringkat terlibat dalam Perhimpunan Agung UMNO 2022 kali ini.
Mereka terdiri daripada 57 ahli Majlis Tertinggi (MT), 30 wakil sayap parti, 2569 wakil Bahagian dan 182 ketua penerangan yang terlibat selaku pemerhati.
Sementara itu, bekas Exco Pemuda UMNO Malaysia yang tidak mahu dinamakan berkata, anak muda perlu menjadi pembaharuan yang dilaksanakan dalam barisan kepimpinan parti itu.
Katanya, ini kerana kepimpinan sebelum ini selalu dibarisi oleh individu yang sama sahaja.
“Yang sudah lama berundurlah, bagi orang baru supaya parti ada idea-idea baru, tak adalah tengok muka yang sama sahaja setiap tahun,” katanya.
Dalam pada itu, seorang puteri dari sebuah Bahagian di Pahang berkata, perhimpunan kali ini perlu mempunyai satu keputusan yang memberikan kebaikan untuk parti UMNO itu sendiri.
Katanya, apa yang diharapkan adalah kesatuan semua ahli terutamanya antara Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dengan peringkat akar umbi menjelang pemilihan parti nanti.
“Apa yang kami nampak daripada sayap parti, kita mahu kesatuan supaya apabila pemilihan berlaku, tetap tak jadi apa-apa (beri kesan),” katanya. – UTUSAN










