PETALING JAYA: Kerajaan sepatutnya boleh memutuskan segera Rang Undang-Undang (RUU) ombudsman tanpa sebarang isu berkaitan kerana kerangka berkaitan akta itu sudah tersedia di Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ini kerana kerajaan sebelum ini masih belum memutuskan secara dasar terutamanya berkaitan skop bidang kuasa dan siapa yang akan mengawal selia akta berkenaan.
“Kerangka ada pada GIACC, tetapi masalahnya kepada sudut dasar (iaitu) kepada siapa dan agensi mana diletak? Jadi sepatutnya pihak menteri undang-undang panggil GIACC untuk bincang dan buat libat urus dengan pemegang taruh.
“Selepas itu, draf itu dibawa kepada jawatankuasa Kabinet untuk diputuskan secara dasar. Apabila dasar sudah diputus, serah kepada Peguam Negara (AG) untuk buat undang-undang.
“GIACC boleh juga lapor kepada jawatankuasa Kabinet berhubung perkara berkaitan di bawah Perdana Menteri, jadi Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh hubungi supaya RUU ombudsman dibuat sekarang dan beri arahan khusus letak bawah siapa atau agensi mana,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Kelmarin akhbar ini melaporkan, RUU ombudsman perlu dibentangkan segera di Parlimen bagi memastikan penjawat awam dapat membuat laporan mengenai sebarang salah laku dalam pentadbiran kerajaan dengan selamat dan efektif.
Presiden TI-Malaysia, Dr. Muhammad Mohan dalam masa sama meminta, akta berkenaan diberi pengawasan terus Parlimen dan beroperasi di bawah peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang telus.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said ketika menyampaikan ucapan di Bengkel Reformasi Institusi bersama kementerian, jabatan, agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkata, kerajaan akan mempertimbang penubuhan Ombudsman Malaysia.
Jelasnya, ia selari dengan agenda penting Kerajaan Perpaduan iaitu ketelusan dan integriti institusi.
Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, akta berkenaan perlu segera diperinci dan diletakkan di bawah satu badan atau individu yang bebas daripada mana-mana kedudukan serta mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan sendiri.
Katanya, ombudsman itu mesti diketuai oleh mana-mana individu yang berani, mempunyai latar belakang bersih, undang-undang dan penyelidikan.
Menurut beliau, akta itu juga perlu mempunyai kuasa untuk menyelidik dan menyiasat, bukannya melapor semula kepada agensi yang diadu.
“Sekarang ada Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri untuk terima laporan daripada orang ramai, beribu-ribu laporan, apa tindakan diambil?
“Biro ini wujud sejak dulu, tetapi seolah-olah tidak berfungsi. Dapat aduan dan setelah kaji (mereka) majukan kepada agensi (yang diadu), jadi setiakawan (sesama agensi) ini kuat, maka (adakah) mereka mahu selidik dengan terperincikah,” soal beliau.
“Oleh itu, ombudsman mesti ada badan sendiri, diketuai orang yang proaktif, yang mencari dan bukannya dengar saja masalah.
“Namun, jangan bebankan Parlimen lagi sebab transformasi Parlimen belum siap. Kalau semua mahu diletak bawah Parlimen, adakah ia mempunyai kemampuan untuk kawal selia perkara ini,” jelasnya. – UTUSAN










