Gembleng pakar ekonomi atasi kenaikan harga barang

Gembleng pakar ekonomi atasi kenaikan harga barang

TELUR adalah antara bahan makanan yang naik harga selain berlaku kekurangan bekalan di beberapa lokasi di negara ini. – Utusan/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu lebih agresif memanfaatkan pakar ekonomi di setiap Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara bagi mencari alternatif mengurangkan kenaikan kos sara hidup yang ditanggung rakyat.

Ini kerana formula sedia ada yang digunakan dalam membantu meringankan beban rakyat ekoran kenaikan harga barang perlu diubah ekoran ia sudah tidak lagi relevan dengan situasi semasa ekonomi dunia.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Felo Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Shazida Jan Mohd. Khan berkata, kerajaan melalui Kementerian Ekonomi perlu bekerja keras mencari golongan pemikir (thinktank) dalam  kalangan pakar ekonomi IPT.

Menurut beliau, golongan berkenaan perlu dikumpulkan bagi mencari model terbaik dalam membantu rakyat terutamanya kategori miskin, B40 dan M40 dalam berhadapan kenaikan harga barang yang dianggarkan sehingga 10 peratus tahun ini.

“Saya cadangkan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli bekerja keras mencari thinktank ekonomi, kita ada ramai dari­pada pendidikan bahagian Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kerana universiti-universiti ini banyak buat kajian tentang kos sara hidup.

“Ini penting sebab formula menangani kos sara hidup tidak boleh lagi sama kerana keadaan kiita jangka tahun ini akan lebih tertekan, jadi perlu ada mekanisme baharu bukan sahaja setakat pemberian tunai dan baucar,” katanya.

Menurut Shazida Jan, kewujudan golongan pemikir dalam kalangan pakar ekonomi IPT dilihat dapat membantu pihak kementerian dan menteri berkenaan dalam berhadapan cabaran semasa ekonomi.

“Kena ada thinktank baharu yang membantu Kementerian Ekonomi sebab tidak cukup kalau mengharapkan Rafizi dan pasukan beliau sahaja, kasihan tengok beliau (Rafizi).

“Sebab itu saya setuju de­ngan pandangan Rafizi supaya kita semua terlibat sama dalam mengawal harga, tetapi kita perlu mencari mekanisme yang betul agar semua peringkat lapisan rakyat dapat mengawal kenaikan harga,” katanya.

Sementara itu, ditanya sa­ma ada pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar perlu dilaksanakan kerajaan bagi berdepan situasi kenaikan harga barang, Shazida Jan berkata, ia bergantung kepada keperluan semasa.

Jelas beliau, pengeluaran KWSP bersasar merupakan pilihan terakhir yang perlu diambil kerajaan memandangkan ia melibatkan simpanan masa depan rakyat.

“Sekiranya keperluan itu be­tul-betul memerlukan dan memang sudah tiada jalan lain maka ia boleh difikirkan namun jika ada pilihan lain lebih baik tidak.

“Sebab itu saya katakan sasaran bantuan kewangan perlu dibuat kerajaan dengan mekanisme yang betul dan saya rasa perlu ada pihak yang memberi pelbagai pendapat dan gabungkan untuk melihat apa yang terbaik,” katanya.

Mingguan Malaysia semalam melaporkan harga barang dan makanan bakal melonjak sehingga 10 peratus pada tahun ini berdasarkan kepada unjuran kadar inflasi yang dijangka meningkat enam hingga tujuh peratus.

Ekoran itu, kerajaan perlu memastikan pengguna terutamanya mereka yang berpendapatan kurang RM2,000 mempunyai makanan mencu­kupi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN