PETALING JAYA: Kerajaan perlu memberi bantuan secara bersasar kepada kumpulan pelajar yang tercicir disebabkan tekanan ekonomi bagi memastikan nilai kepentingan pendidikan itu tidak runtuh.
Timbalan Pengarah Pembangunan Program dan Pemasaran Pusat Pembentukan Pendidikan Lanjutan dan Profesional Universiti Kebangsaan Malaysia (UKMShape), Jamalul Lail Abdul Wahab berkata, bantuan tersebut boleh disalurkan dengan kerjasama pihak sekolah.
Menurut beliau, penting bagi pihak sekolah memainkan peranan dalam mengenalpasti pelajar-pelajar yang tidak dapat meneruskan pendidikan disebabkan masalah ekonomi supaya bantuan dapat diberikan secara terus.
“Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mengambil tindakan proaktif iaitu menghubungi semua pihak pengurusan sekolah dan minta mereka mengenalpasti pelajar-pelajar yang berisiko tercicir atas faktor ekonomi.
“Pihak sekolah perlu memainkan peranan ini tetapi ia juga perlu didorong oleh kehendak politik (political will) daripada kepimpinan baharu KPM supaya kerjasama itu lebih baik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan, kira-kira 100,000 pelajar berisiko tercicir daripada sistem pendidikan negara ekoran terbeban dengan kos sara hidup yang dijangka meningkat lebih tinggi tahun ini.
Sebabnya, wujud ibu bapa daripada golongan berpendapatan rendah terutama B40 yang tidak mampu lagi menanggung perbelanjaan persekolahan anak, sekali gus akan mencetuskan keciciran dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Berdasarkan laporan Institut Hal Ehwal Ekonomi dan Demokrasi Malaysia (Ideas), hampir 60 peratus pelajar yang tercicir terdiri daripada keluarga berpendapatan rendah.
Jamalul Lail berkata, pihak kerajaan perlu menganggap dengan membantu kumpulan pelajar tercicir sebagai langkah pelaburan untuk jangka masa panjang dan masa depan negara.
“Jika perkara ini tidak diatasi, maknanya kita akan mengalami kerugian dari segi sumber manusia. Kita akan ada kelompongan daripada keciciran tersebut sehingga negara rugi.
“Malah, masyarakat juga akan rugi apabila pelajar-pelajar tersebut tidak boleh bertahan di dalam kehidupan disebabkan sukar mencari kerja dan sebagainya. Sudah pasti itu akan menyebabkan keruntuhan moral,” katanya.
Menyokong pendapat itu, Naib Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Sultan Hisamuddin Alam Shah, Mohd.Alif Anas Md. Noor turut menggesa isu keciciran pelajar ditangani sehabis baik oleh KPM.
“Pandemik Covid-19 memberi kesan yang teruk kepada ekonomi terutama keluarga B40. Malah, pada masa kini inflasi dan kos sara hidup semakin meningkat sehingga sebilangan keluarga tidak mampu membiayai kos pendidikan anak-anak mereka.
“Kita bimbang jika keciciran tersebut tidak ditangani ia akan menyebabkan semakin besar jurang di antara masyarakat bandar dan luar bandar, B40 dengan T20 serta M40. Ini akan mengakibatkan kitaran sosial tidak sihat kepada pembangunan masyarakat pada masa akan datang,” jelasnya.
Tambahnya, kebanyakan pelajar daripada B40 turut mempunyai kepandaian dan bakat yang boleh diasah di sekolah yang akhirnya menyumbang bakti kepada pembangunan negara.
“Ramai pelajar B40 yang berjaya bukan sahaja di peringkat sekolah tetapi universiti hasil didikan dan bantuan pihak kerajaan. Jadi sekiranya keciciran berlaku di peringkat sekolah ia akan merugikan pembangunan modal insan.
“Bagaimana kita nak tahu sekiranya yang tercicir itu tidak mempunyai bakat dan kepandaian? Jangan disebabkan masalah ekonomi keluarga dan tekanan kos sara hidup menyebabkan mereka tidak mendapat peluang sewajarnya,” ujar beliau. – UTUSAN










