Akar umbi UMNO terima BN-PH

Akar umbi UMNO terima BN-PH

umno
MAHDZIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
PRINSIP ‘No Anwar No DAP’ yang dipertikai sesetengah pihak diperjelaskan pimpinan UMNO hari ini, mengapa kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjadi pilihan.

Meskipun ia tidak diterima di peringkat awal, namun keadaan dikatakan semakin positif di samping mengekalkan perjuangan UMNO yang menjadi kelompok parti terbesar dalam kerajaan perpaduan.

Ikuti temubual eksklusif dengan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid oleh wartawan Utusan Malaysia, JUANI MUNIR ABU BAKAR, ASLINDA NASIR dan AHMAD FADLULLAH ADNAN yang turut menjelaskan penolakan rakyat terhadap UMNO dalam Pilihan Raya Umum Ke-15.

UTUSAN: Akar umbi terima keputusan kerjasama dengan kerajaan perpaduan?
MAHDZIR: Alhamdulillah, setakat ini ramai yang mula terima. Kerajaan perpaduan ini ditubuhkan atas keputusan biro politik dan Majlis Kerja Tertinggi, itu adalah keputusan konsensus dalam UMNO.

Presiden bertemu dengan PH dan Presiden juga bertemu dengan Perikatan Nasional (PN). Kedua-dua belah pihak ada justifikasi dan kita buat keputusan untuk bersama dengan PH.

Selepas itu, kita ambil masa dalam 40 hari untuk buat pe­nerangan kepada bahagian kenapa bersama dengan PH.

Kalau dulu 1MDB menjadi punca BN kalah. Sekarang apa punca BN kalah lebih teruk pada PRU-15?

Negara lain pernah berlaku gelombang pengundi beralih dari parti yang telah lama berada dalam pemerintah kepada parti baru. Jadi, di Malaysia pada PRU-15, bila wujudnya PN, ada ruang untuk pengundi membuat pilihan.

Jadi ada setengah daripada mereka memikirkan PN akan menjadi kerajaan.

Untuk pengundi 18 pula, kita tidak banyak aktiviti dengan mereka dan kita lihat ada ruang kosong untuk mereka membuat pilihan sendiri. Ketika itu tum­puan BN adalah kepada pengundi sedia ada. Selain itu, perubahan kepada teknologi, lebih kepada digital dan ada pelbagai gajet digunakan sepanjang kempen.

Benarkah wujud penolakan kepada UMNO termasuk pengundi putih yang merupakan penyokong tegar UMNO sendiri?

Selain pengundi muda, ada juga pengundi di situ yang tidak keluar mengundi.

Datuk Seri setuju jawatan pre­siden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan?

Dalam parti UMNO, pertandingan baru ada tiga kali dari zaman Tun Hussein Onn sendiri ditanding Sulaiman Palestine, kemudian Tun Mahathir lawan Tengku Razaleigh, tahun 2018, Tengku Razaleigh, Khairy Jamaluddin lawan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Jadi, maknanya dalam UMNO ini, musyawarah lebih banyak daripada pertandingan.

Pada saya, tidak ada masalah bertanding atau tidak. Bergantung kebaikan kepada parti. Kalau orang kata demokrasi, jadi bila demokrasi perlu terbuka untuk semua, tetapi ada juga demokrasi yang tidak perlu untuk semua.

Datuk Seri setujukah tindakan menggantung beberapa pimpinan UMNO yang dilihat bertentangan dengan presiden dan parti?

Bergantung kepada bagaimana proses itu berlaku, kita kadang-kala tidak dapat nak menceritakan semua. Jadi, itu lebih kepada keputusan parti sebab kita ada Lembaga Disiplin dan sebagainya.

Ada yang melabelkan Datuk Seri sebagai ‘orang’ Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, komen?

Itu gambaran saya ketika dalam Kabinet. Ketika itu, saya juga Naib Presiden UMNO. Kabinet adalah entiti dalam pentabdiran kerajaan, dalam masa yang sama, saya Naib Presiden UMNO, kita perlu bezakan sewaktu kita dalam kerajaan dan waktu kita dalam parti.

Beberapa kali saya pegang jawatan menteri, Menteri Besar, kita akhirnya kena balik pada asas, saya dapat merasa semua itu kerana UMNO, kalau bukan UMNO, saya tidak dapat merasa semua ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN