462 murid, guru berdepan risiko jambatan runtuh

462 murid, guru berdepan risiko jambatan runtuh

SEBILANGAN murid yang selesai sesi persekolahan tengah hari melihat lantai dan penahan konkrit tebing mulai runtuh di bawah jambatan Sungai Damak berdekatan pintu pagar masuk ke Sekolah Kebangsaan (SK) Damak di Jerantut, Pahang. – UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Seramai 462 murid, guru dan kakitangan Sekolah Kebangsaan (SK) Damak di sini berdepan bahaya berikutan jambatan kecil Sungai Damak yang menjadi laluan utama masuk sekolah terbabit berisiko runtuh.

Ia selepas jambatan itu me­ngalami kerosakan bahagian lantai dan penahan konkrit tebing disebabkan banjir sejak Disember 2021.

Kerosakan jambatan kecil sepanjang 20 meter dan lima meter lebar itu semakin ketara selepas banjir Disember tahun lalu sehingga menyukarkan guru, murid serta kakitangan masuk ke kawasan sekolah dan terpaksa menggunakan laluan alternatif.

Persatuan Ibu Bapa dan guru (PIBG) termasuk penduduk hairan mengapa kerajaan melewatkan pembinaan jambatan itu selepas setahun dan tidak boleh digunakan lagi berikutan struktur binaannya mulai runtuh.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi PIBG SK Damak, Saiful Anuar Osman, 43, berkata, ibu bapa dan penjaga kecewa kerana kelewatan pembinaan jambatan baharu sedang­kan kerosakan di situ sudah berlaku selepas banjir 27 Disember 2021.

“Sejak kejadian itu, jambatan ini ditutup dan sebagai langkah keselamatan, PIBG dengan bantuan pihak luar membina jalan alternatif melalui kawasan belakang pekan Damak sejauh 200 meter.

“Namun guru, murid serta kakitangan sekolah ini berdepan cabaran yang sama apabila laluan alternatif berdekatan juga ditenggelami ketika banjir apabila air Sungai Damak melimpah,” katanya di sini semalam.

Tegas Saiful Anuar, sampai bila guru, murid dan kakita­ngan SK Damak mahu menunggu jambatan baharu dan selamat sedangkan sesi persekolahan sudah bermula malah kemungkinan berdepan banjir sekali lagi berikutan cuaca tidak menentu.

“Kami berharap kerajaan le­bih cakna mengutamakan projek pembinaan kemudahan di sini untuk keselesaan warga sekolah ini menggunakan laluan ini sewaktu sesi persekolahan,” katanya.

Seorang penjaga, Rafiz Azu­an Ahmad, 48, berkata, para ibu bapa dan penjaga tertanya-tanya status jambatan tersebut sedangkan sudah ada pihak berwajib memberi jaminan menyegerakan projek pembinaannya selepas kerosakan akibat banjir penghujung tahun 2021.

“Sewajarnya perkara ini diberi perhatian segera oleh pihak berwajib dengan memberikan keutamaan menyegerakan projek tersebut.

“Keadaan jambatan yang rosak ini juga mencacatkan pemandangan di pintu pagar apabila kelihatan regangan tali keselamatan, semak samun serta terdapat tong sampah besar sehingga mengganggu landskap dan keceriaan sekolah ini,” katanya.

Seorang lagi penjaga, Ramli Mustapha, 50, berpandangan kerajaan perlu menyegerakan pembinaan jambatan baharu dengan lebih kukuh untuk mengelakkan kerosakan setiap kali banjir pada penghujung tahun.

“Saya mencadangkan juga jambatan ini dibina lebih lebar supaya memudahkan kenderaan seperti bomba dan ambulans masuk ke sekolah sekiranya berlaku hal kecemasan,” katanya.

Ujarnya, menyegerakan pembinaan jambatan itu juga selari dengan hasrat Kementerian Pendidikan yang kerap menguar-uarkan konsep sekolah selamat bagi keselesaan pelajar mengikuti pembelajaran harian, aktiviti kokurikulum dan pembinaan insan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN