KUALA LUMPUR: Pengasingan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya tidak sesuai dilakukan ketika ini kerana perlu mengambil kira pelbagai faktor terutama implikasi kewangan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, malah pengasingan itu bukan suatu yang kritikal untuk diwujudkan sekarang.
“Dalam keadaan ekonomi sekarang, tidak dinasihatkan berbuat demikian (pengasingan) kerana implikasi kewangan yang cukup besar apabila melibatkan pemindahan pejabat Peguam Negara berasingan dengan Pendakwa Raya.
“Ia melibatkan satu lagi badan sendiri dan setiap badan itu harus lengkap dengan pembantu, penasihat, penolong pegawai, alat perkakas. Kosnya tinggi dan memakan masa sehingga beratus juta ringgit.
“Kalau ini berlaku, kita cakap nak jaga kewangan dan keputusan itu perlu selaras dengan kepentingan dan ia bukanlah keperluan yang mendesak. Kita tidak melihat ia suatu perkara yang kritikal, jadi kita harus dahulukan perkara yang perlu didahulukan.
“Namun kajian kita mengenai perkara ini tidak pernah berhenti,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Semalam, akhbar ini melaporkan, pengasingan fungsi dan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya memerlukan iltizam politik dalam kalangan 222 ahli Parlimen kerana perubahan itu memerlukan sokongan dua pertiga Dewan Rakyat untuk meminda Perlembagaan Persekutuan.
Pindaan itu membabitkan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan kuasa pendakwaan oleh Peguam Negara untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu pendakwaan di mahkamah.
Usaha pengasingan kuasa itu bukan perkara baharu kerana kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pernah merancang untuk melaksanakannya, namun terhenti bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Wan Junaidi turut berkata, kajian mengenai cadangan pengasingan fungi Peguam Negara dan Pendakwa Raya itu telah dibuat secara terperinci di bawah kementeriannya bersama dengan pihak kamar Peguam Negara sebelum ini.
“Kajian itu mendapati bahawa langkah-langkah perlu dibuat melibatkan pindaan daripada perlembagaan Malaysia dan juga 19 undang-undang Malaysia.
“Bidang kuasa itu terletak dalam undang-undang berhubung Peguam Negara,” katanya. – UTUSAN










