PH-BN akan jadi gabungan besar - Ahmad Zahid - Utusan Malaysia

PH-BN akan jadi gabungan besar – Ahmad Zahid

AHMAD Zahid Hamidi (tiga dari kanan) bersama pimpinan BN dan PH termasuk calon PH, Dr. Mohamad Sofee Razak (dua kiri) pada Ceramah Mega Ayuh Malaysia Padang Serai di Kampung Tunku Putra, Padang Serai di Kulim. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Kerajaan Perpaduan dibentuk Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) diyakini terus menjadi gabungan besar yang tidak akan berakhir untuk tempoh tertentu atau sehingga penggal ini berakhir.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN dan PH tidak perlu lagi melihat kepada sejarah lampau dan perbezaan antara kedua-dua pihak itu.

Menurut Presiden UMNO itu, pepatah ‘tidak ada kawan yang kekal, tidak ada musuh yang kekal’ boleh diterjemahkan atas sifat keikhlasan sebagai rakyat Malaysia walaupun berbeza parti sebelum itu.

“Insya-Allah kerjasama ini bukan lima tahun, bukan 10 tahun, bukan 15 tahun (tapi) atas keikhlasan kita akan bekerjasama dalam satu pasukan sebagai the grand coalition (gabungan besar) antara parti-parti yang bergabung untuk membentuk sebuah negara yang lebih gemilang.

“Saya amat yakin jika trend ini dapat kita pertahankan, jika penyatuan dan perpaduan ini dapat kita teruskan Insya-Allah Malaysia akan gemilang, ekonomi kita akan lebih baik dan kos sara hidup akan dapat diatasi.

“Pelaburan asing akan lebih banyak masuk. Pekerjaan akan dapat lebih diwujudkan manakala pelabur-pelabur dalam negeri akan mempunyai kepercayaan yang lebih kepada kepimpinan di bawah Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memimpin negara kita,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Mega Ayuh Malaysia Padang Serai di Kampung Tunku Putra, Padang Serai malam tadi.

Yang turut hadir, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang juga Menteri Ekonomi; Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail merangkap Menteri Dalam Negeri dan Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Ahmad Zahid berkata, BN yakin PH adalah rakan politik yang terbaik untuk mentadbir negara selain Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berkeyakinan terhadap Anwar sebagai pemimpin boleh diharapkan oleh rakyat Malaysia.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, walaupun UMNO dan BN pada mulanya janggal untuk bekerjasama dengan PKR dan PH namun perkara itu juga boleh diatasi dengan melupakan segala perbezaan lalu.

“Saya tahu yang pakai baju biru muda (warna PKR) dulu kami alergi tetapi percayalah alergi ada ubatnya. Ubatnya ialah keikhlasan untuk kita bekerja bersama-sama sebagai satu pasukan yang kuat.

“Maka atas dasar itulah kita harus melupakan perbedaan-perbedaan dalam kalangan kita (walaupun) baru dua minggu yang lalu saya kutuk mereka, mereka kutuk saya,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.