Laluan kerjasama BN-PH masih sukar

Laluan kerjasama BN-PH masih sukar

Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pembentukan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) masih berdepan cabaran besar terutama dari segi persepsi akar umbi.

Setiausaha Agung ­Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaa­kub berkata, tempoh dua tahun ter­akhir sebelum PRU16 merupakan fasa paling kritikal khususnya buat BN dalam memulihkan keyakinan pe­ngundi.

Katanya, walaupun kerjasama tersebut wujud dalam konteks pentadbiran kerajaan, laluan untuk mendapatkan keyakinan orang ramai, khususnya penyokong tradisi BN, bukanlah sesuatu yang mudah.

“Ruang telah diberi dan kita masih melihat masyarakat masih sukar untuk terima,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, kerjasama itu tidak akan merencatkan peluang BN pada PRU16 kerana parti berkenaan mempunyai identiti tersendiri yang kukuh dan tidak bergantung kepada mana-mana gabungan.

Katanya, pengundi dan penyokong BN kini semakin sedar, BN masih menjadi pilihan terbaik berbanding parti lain malah menunjukkan trend untuk kembali menyokong parti tersebut.

Mengulas dakwaan kerjasama dengan PH boleh menjejaskan undi BN, Mustapha mengakui wujud sedikit kesan dari segi persepsi, namun ia tidak bersifat kritikal dan tidak mampu menggugat kekuatan sebenar BN.

“Ada sedikit-sedikit kesan, tetapi tidak begitu besar. Saya tidak nampak ia akan merencatkan secara kritikal prestasi BN dalam PRU akan datang,” katanya.

Pada masa sama, beliau menekankan kepentingan BN ber­gerak secara solo pada PRU16 seperti yang telah ditegaskan kepimpinan parti, sambil menambah bahawa sebarang kerjasama hanya wajar dipertimbangkan selepas pilihan raya.

Beliau turut berpandangan bahawa kekuatan BN pada PRU16 banyak bergantung kepada keupayaan parti mengurus persepsi dalaman, terma­suk mengenal pasti calon lebih awal bagi mengelakkan sabotaj dan perpecahan menjelang hari penamaan calon. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN