PN sebenarnya cuak kerjasama UMNO, DAP

PN sebenarnya cuak kerjasama UMNO, DAP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DAP terus menjadi bahan kritikan pembangkang sejak parti itu membuat keputusan untuk beker­jasama dengan UMNO bagi membentuk kerajaan Persekutuan baharu tahun lalu, setelah kedua-dua parti itu bermusuhan dalam politik selama hampir 60 tahun lamanya.

Ironinya, kritikan itu dilemparkan oleh parti-parti yang pernah bekerjasama dengan DAP iaitu Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Hasil kerjasama antara mereka sebenarnya banyak membuahkan hasil apabila meraih kemenangan dalam beberapa pilihan raya lalu sehingga ak­hirnya berjaya membentuk kerajaan pusat dan negeri.

SEJARAH

Kerjasama kali pertama antara DAP dan Pas menyaksikan Barisan Alternatif (BA) meraih kemenangan 42 daripada 193 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 1999, jumlah kerusi terbanyak dalam sejarah yang diraih pembangkang ketika itu.

Namun, BA hanya meraih lapan daripada 219 kerusi Parlimen apabila DAP meninggalkan gabungan tersebut untuk bertanding solo pada 2004.

Pas kemudian membuat keputusan untuk kembali be­kerjasama dengan DAP menerusi Pakatan Rakyat, menyaksikan kemenangan di 82 kerusi Parlimen meliputi 23 kerusi dimenangi Pas dan 28 kerusi dimenangi DAP, dengan 31 kerusi lagi dimenangi PKR, selain berjaya membentuk lima buah kerajaan negeri.

Kerjasama antara kedua-dua parti itu terus membuahkan hasil cemerlang apabila menyumbang sehingga 89 kerusi dalam PRU 2013, dengan Pas meraih 21 kerusi sebelum bertindak meninggalkan Pakatan Rakyat pada 2015.

Pas bertanding bersama Gagasan Sejahtera pada PRU14 dengan harapan membentuk kerajaan namun hanya meraih 18 kerusi sedangkan DAP berjaya meraih 42 kerusi.

TERJALIN

Ia jelas menunjukkan Pas sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan DAP pada masa lalu, malah hubungan mereka terjalin selama 17 tahun sejak 1998.

Bersatu juga perlu berteri­ma kasih kepada DAP kerana kejayaan parti itu meraih kerusi terbanyak pada PRU14 juga banyak membantu mereka sebagai parti baharu yang ditubuhkan pada 2016, untuk bertapak dalam politik negara sebagai alternatif kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Bersatu yang dipelopori oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad serta beberapa bekas pemimpin UMNO berjaya meraih 13 kerusi sekali gus menyumbang kepada kemenangan majoriti mudah sekali gus membentuk kerajaan persekutuan bersama Pakatan Harapan (PH).

Namun, Bersatu bertindak meninggalkan PH pada 2020 bagi membentuk kerajaan bersama Pas di bawah gabungan Perikatan Nasional (PN), seolah-olah mereka sekadar mempergunakan kerjasama dengan DAP untuk berkuasa.

Malah, kerajaan PN dapat bertahan selama tiga tahun hasil pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan pembangkang, meskipun ia melibatkan kerjasama dengan DAP.

Biarpun hasil kerjasama Pas dan Bersatu di bawah PN berjaya meraih 74 kerusi dalam PRU15, jumlah itu masih jauh lebih rendah berbanding jumlah kerusi yang diraih ketika Pas bekerjasama dengan DAP atau Bersatu bekerjasama dengan DAP pada masa lalu.

Andai kata Pas dan Bersatu masih bekerjasama dengan DAP, mereka sudah lama menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan ketika ini. Dengan kedua-dua parti ini mempunyai pengalaman bekerjasama dengan DAP, tidak mustahil Pas dan Bersatu sebenarnya ‘takut’ kerjasama antara UMNO dan DAP bakal menyaksikan kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Jika kerjasama antara Pas dan DAP atau Bersatu dan DAP berjaya meraih jumlah kerusi yang banyak dalam pilihan raya lalu, inikan pula jumlah kerusi yang bakal diraih hasil kerjasama UMNO dan DAP. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN