Lima juta murid dapat bantuan

Lima juta murid dapat bantuan

BANTUAN awal persekolahan dibuat dalam dua fasa, (murid-murid lain) dibayar pada Januari dan murid-murid yang baru masuk Tahun 1 (terima) pada Mac.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kira-kira lima ju­ta murid bakal menerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang disalurkan secara dua fasa iaitu seawal Januari dan Mac depan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, bayaran fasa kedua itu khusus melibatkan murid Tahun 1 yang baru memulakan sesi persekolahan pada Mac mengikut Takwim Aka­­demik 2023/2024.

“Bantuan awal persekolahan ini kita buat dua fasa, (murid-murid lain) dibayar pada Januari dan murid-murid yang baru masuk Tahun 1 (terima) pada Mac.

“Mac khusus untuk Tahun 1, (kita faham) ramai menunggu tetapi sebab sekolah tidak bermula pada Januari, maka kita buat dua fasa,” katanya ketika ditemui di pejabatnya pada sesi kunjungan hormat Utusan Malaysia dan Kosmo!, di sini baru-baru ini.

FADHLINA SIDEK

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan, peruntukan BAP sebanyak RM150 kepada semua murid disalurkan seawal 12 Januari ini yang mula dikreditkan ke akaun sekolah dan diagihkan secara tunai atau dikreditkan ke dalam akaun murid.

Tiada sebarang borang atau dokumen perlu diisi oleh murid atau ibu bapa sebelum menerima BAP dan KPM juga tidak menyediakan sebarang talian khusus berhubung bantuan tersebut.

Segala penjelasan lanjut ber­kaitan BAP boleh dirujuk melalui Surat Pekeliling Kewangan Bilangan 20 Tahun 2020: Bantuan Awal Persekolahan di laman sesawang rasmi KPM.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) K umpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 di Dewan Rakyat memaklumkan, kerajaan bersetuju menyalurkan BAP bernilai RM150 kepada semua murid, tanpa mengambil kira had pendapatan ibu bapa.

Beliau berkata, langkah itu penting untuk mempersiapkan murid dengan kelengkapan sekolah yang sewajarnya, selain memberi perbelanjaan bagi Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan pembelian buku teks.

Bantuan berkenaan sebelum itu pernah diumumkan bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pembentangan Bajet 2023 Oktober lalu yang mana kerajaan menaikkan jumlah kepada RM150 berbanding RM100 dan diberikan kepada semua murid tanpa mengira had pendapatan ibu bapa.

Sebagai contoh, jika sebuah keluarga mempunyai tiga anak bersekolah, maka mereka layak menerima BAP sebanyak RM450 melibatkan keseluruhan peruntukan sejumlah RM825 juta pada 2023, jauh melebihi peruntukan tahun ini iaitu RM450 juta.

Dalam perkembangan lain, Fadhlina berkata, tumpuan beliau pada tahun 2023 khususnya pada Januari adalah memulihkan sekolah-sekolah yang terlibat dengan bencana banjir atau dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS).

Kata beliau, mana-mana sekolah yang terjejas akan diselenggara segera supaya murid-murid dapat kembali ke sekolah dengan keadaan baik dan selamat mengikut nasihat Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Selain itu, kata beliau, bantuan khidmat psikososial disediakan terutama di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mun Choong yang terlibat tragedi tanah runtuh di Batang Kali baru-baru ini, dengan enam guru dari sekolah berkenaan meninggal dunia.

Menurut beliau, KPM telah menyiapkan pelan lima hari bagi persiapan pertama sebaik sahaja sekolah dibuka 3 Januari ini selepas cuti penggal dengan menempatkan kaunselor-kaunselor KPM untuk membantu psikososial kepada para guru dan murid.

“Persiapan psikososial kanak-kanak bagi hari pertama persekolahan sangat kritikal sebab mereka akan tahu guru mereka tidak ada enam orang dan mereka dapat kenal pasti ada dalam kalangan rakan-rakan mereka juga tidak ada.

“Bantuan psikososial ini lebih kepada persiapan dan pada masa sama kita nak tonjolkan bahawa KPM ada pasukan psikososial ini,” katanya.

KPM mempunyai sejumlah 318 kanselor pendidikan dikenali Pasukan Critical Incident Stress Management yang berfungsi memberi bantuan kecemasan psikologi kepada warga KPM yang menghadapi krisis (mangsa krisis) untuk kembali ke tahap kefungsian adaptif dan mencegah atau mengurangi impak negatif daripada trauma. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN