Lelaki nyaris maut terkena tembakan - Utusan Malaysia

Lelaki nyaris maut terkena tembakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Seorang lelaki nyaris maut apabila terkena salah satu daripada tiga das tembakan dilepaskan oleh seorang penunggang motosikal tidak dikenali dalam kejadian di Jalan Limau Kasturi, Taman Wangi, di sini sebaik sahaja keluar dari rumah untuk bekerja pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.10 pagi itu, suspek dipercayai seorang lelaki warga tempatan melepaskan tembakan ke arah mangsa berusia 46 tahun sambil menunggang motosikal berwarna gelap dan memakai topi keledar bervisor gelap.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya bertindak selepas Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan menerima panggilan daripada isteri mangsa.

Menurutnya, Unit Forensik, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian dan menjumpai beberapa barang termasuk dua objek logam disyaki kelongsong peluru

“Hasil siasatan mendapati suspek melepaskan tiga das tembakan ke arah mangsa dengan menggunakan dua pucuk pistol yang berlainan. Punca kejadian disyaki isteri mangsa telah menipu wang skim pelaburan menyebabkan ada pihak yang tidak berpuas hati.

“Suspek juga dikatakan sempat berkata sesuatu kepada mangsa dan isteri ketika melepaskan tembakan,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Hoong Fong menambah, bagaimanapun mangsa terselamat dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk mendapatkan rawatan dan hasil pemeriksaan x-ray mendapati sebiji kelongsong dipercayai peluru menembusi lengan kanannya.

Katanya lagi, Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Klang Selatan membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mencuba membunuh orang. Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun

Dalam pada itu, beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menyalurkannya kepada polis untuk membantu siasatan.

“Polis meminta mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat atau mengenali individu tersebut diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Hazri Raziff di talian 0183204914 atau menghubungi IPD Klang Selatan di talian 03-33762222,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya