KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat semalam sebulat suara meluluskan Bajet Mini 2023 dan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 berjumlah RM107.7 bilion.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan RUU itu berkata, antara lain bajet tersebut digunakan bagi tujuan Bantuan Awal Persekolahan, Bantuan Tunai Rakyat dan pelbagai bantuan bagi meminimumkan impak kenaikan kos sara hidup yang perlu ditanggung rakyat.
Perbelanjaan terlibat termasuklah Bantuan Awal Persekolahan RM150 kepada semua murid tanpa mengambil kira had pendapatan ibu bapa dengan menganggarkan peruntukan sebanyak RM825 juta untuk bantuan tersebut.
Ia juga melibatkan keperluan perbelanjaan bagi Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan pembelian buku teks.
Selain itu juga, Perdana Menteri memaklumkan, kerajaan akan menyediakan tawaran 50,000 peluang kerjaya secara kontrak termasuk 35,000 oleh syarikat GLC melalui program MySTEP untuk tahun 2023.
“Para belia juga memerlukan kelangsungan peluang pekerjaan untuk meraih rezeki. Dengan didorong pelaksanaan program yang mengiktiraf gaji antara RM1,500 hingga RM2,100, kerajaan akan menyediakan tawaran 50,000 peluang kerjaya secara kontrak termasuk 35,000 oleh syarikat GLC melalui program MySTEP untuk tahun 2023,” katanya.
Dalam mendepani musibah banjir, sebanyak RM400 juta disalurkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sebagai kesiapsiagaan awal di kawasan-kawasan banjir.
Katanya, setakat ini, pelbagai agensi kerajaan sudah berada di lapangan bagi menggerakkan jentera untuk membantu rakyat.
Kerajaan juga, tambah beliau, turut bersetuju menyalurkan bantuan tambahan sebanyak RM200 kepada pekebun kecil getah bermula Januari 2023 dengan melibatkan 320,000 pekebun kecil getah.
Sebelum ini, jelas Anwar, kerajaan telahpun menyalurkan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) bagi bulan November dan Disember dengan bantuan keseluruhan RM600.
Dalam pada itu, bantuan tunai kepada rakyat juga diteruskan bagi meringankan kos sara hidup.
“Sukacita juga saya umumkan, bantuan tunai rakyat yang dilaksanakan selama ini akan tetap diteruskan. Insya-Allah bayaran Bantuan Tunai Rakyat Fasa 1 akan disalurkan awal iaitu pada Januari 2023 berbanding Mac pada tahun ini.
“Bayaran Fasa 1 ini akan memanfaatkan hampir RM9 juta penerima dengan peruntukan RM2 bilion melibatkan kadar RM300 bagi setiap isi rumah dan RM100 untuk penerima bujang.
“Saya berharap, penyaluran awal ini membantu meringankan beban yang ditanggung rakyat pada waktu ini,” ujarnya.
Bagi penjawat awam gred 11 sehingga 56, kerajaan bersetuju memberi Kenaikan Gaji Tahunan Tambahan Khas 2023 bernilai RM100 kepada semua penjawat awam Gred 11 hingga 56.
Beliau berkata, kerajaan juga bersetuju memberikan Bantuan Khas Kewangan kepada 1.3 juta penjawat awam gred 56 ke bawah bernilai RM700, manakala RM350 bagi sejuta pesara. – UTUSAN










