7 pegawai bomba terima ijazah Sarjana Sains Kejuruteraan Keselamatan Kebakaran - Utusan Malaysia

7 pegawai bomba terima ijazah Sarjana Sains Kejuruteraan Keselamatan Kebakaran

SERAMAI tujuh graduan kumpulan pertama pegawai JBPM menerima ijazah bagi program Sarjana Sains Kejuruteraan Keselamatan Kebakaran pada Upacara Konvokesyen ke-60 USM, di George Town, Pulau Pinang hari ini. - Pix IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Seramai tujuh graduan kumpulan pertama pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima ijazah bagi program Sarjana Sains Kejuruteraan Keselamatan Kebakaran pada Sidang Tiga, Upacara Konvokesyen ke-60 di Universiti Sains Malaysia (USM), di sini hari ini.

Mereka terdiri daripada Azrul Khairi Abu Bakar, 42; Mohamad Amir Ahmad Tarmizi, 37; Mohd Rosmaidi Baharuddin, 42; Aidil Adlee Che Mat, 30; Mohd Suhaimi Husain, 42; Mohd. Rozairi Abdul Rahim, 40, dan Mohd. Ridzuan Ramli, 40.

Kesemua mereka merupakan antara 16 graduan yang berjaya memperoleh ijazah dalam program berkenaan pada konvokesyen hari ini.

Program Sarjana Sains Kejuruteraan Keselamatan Kebakaran itu merupakan program yang pertama di Malaysia dan juga Asia Tenggara.

Salah seorang graduan, Azrul Khairi yang merupakan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru berkata, beliau bersyukur kerana berjaya menghabiskan pengajian walaupun masih bertugas sebagai pegawai bomba dan ketua balai.

”Saya berjaya menghabiskan pengajian dalam tempoh setahun enam bulan, walaupun bergelar penuntut sepenuh masa, saya tetap menjalankan tugas-tugas hakiki sebagai pegawai bomba.

”Kesukaran memang ada dari segi bagaimana mahu membahagikan masa sebagai penuntut, ketua balai dan ketua keluarga, namun saya dapat hadapi cabaran ini dan mengenggam ijazah hari ini,” katanya di sini hari ini.

Menurut Azrul Khairi, selain berdepan cabaran untuk membahagikan masa, beliau dan rakan-rakan lain turut berdepan cabaran kerana bergelar penuntut ketika negara masih berada dalam tempoh pandemik Covid-19.

”Kebanyakkan masa kami belajar secara dalam talian kerana waktu itu Covid-19 melanda, jadi memang agak sukar kerana kita tidak biasa belajar secara dalam talian.

”Lama kelamaan saya dapat biasakan diri dan selesa untuk meneruskan pengajian secara dalam talian sehingga tamat kursus,” katanya.

Tambahnya, program Sarjana Sains Kejuruteraan Keselamatan Kebakaran itu amat bertepatan dan sesuai untuk para pegawai dan anggota bomba menambah ilmu masing-masing.

”Di dalam perkhidmatan awam kita sentiasa perlu meningkatkan ilmu yang ada untuk menjadi yang terbaik, jadi saya yakin program ini amat sesuai untuk setiap anggota bomba yang mahu menambah ilmu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya