Zahidi sah tanding Padang Besar, gempur Zahida Zarik

Zahidi sah tanding Padang Besar, gempur Zahida Zarik

ZAHIDI ZAINUL ABIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Penyandang Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin mengesahkan tetap bertanding di kerusi itu walaupun tidak dicalonkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Zahidi berkata, bagaimanapun buat masa ini, beliau belum dapat memastikan bertanding atas tiket gabungan mana memandangkan perbincangan mengenai perkara tersebut masih berjalan. 

Katanya, UMNO pada masa ini berdepan kecelaruan yang mana calon-calon berpotensi menang disingkirkan bertanding pada PRU15.

“Sekarang perbincangan sedang berlangsung dan kita harap dapat tonjolkan calon-calon kita yang bersesuaian dengan keadaan sekarang,” katanya di sini hari ini.

Nama Zahidi sebelum ini digugurkan daripada senarai calon BN bagi mempertahan kerusi Parlimen Padang Besar dan tempat beliau digantikan oleh Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan.

ZAHIDA ZARIK KHAN

Pengesahan Zahidi itu sekali gus bakal menyaksikan pertembungan beliau dan Zahida Zarik yang merupakan pendatang baharu di Parlimen Padang Besar.

Selain Zahidi, nama penyandang Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim juga turut tidak disenaraikan sebagai calon BN dalam PRU15.

Dalam pada itu, Zahidi berkata, Zahida Zarik dijangka berdepan laluan sukar pada PRU15 berdasarkan kepada perkembangan politik semasa.

“Kita lihat kalau peluang dia (Zahida Zarik) masa zaman UMNO kuat dulu mungkin cerah, tapi dalam situasi sekarang, peluang dia agak tipis. Akar umbi mungkin berbelah bagi dan menyebabkannya sukar untuk menang di sana,” katanya.

Tambah beliau, prinsip bagi memilih ahli Parlimen bagi sesebuah kawasan adalah berdasarkan kriteria wakil daripada anak tempatan dan bukannya dengan tujuan bagi kepentingan pihak tertentu.

“Untuk penerimaan bahagian kepada Zahida Zarik mungkin agak sukar memandangkan beliau adalah calon luar dan bukan berasal dari Padang Besar,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.