Warisan bantu kempen PH di Padang Serai - Utusan Malaysia

Warisan bantu kempen PH di Padang Serai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Parti Warisan Negeri Kedah mengarahkan jenteranya membantu calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen Padang Serai yang akan berlangsung 7 Disember ini.

Pengerusinya, Datuk Fadzil Hanafi berkata, kerjasama itu bagi membolehkan kemenangan dapat dihadiahkan kepada Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Selaras dengan kesediaan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menyokong Kerajaan Perpaduan atas titah Yang di-Pertuan Agong, maka jentera parti di Kedah turut berkempen dan akan memberi sokongan untuk memastikan kemenangan calon PH daripada PKR,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khamis lalu, Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua berkata, mereka memutuskan untuk tidak bertanding dalam PRU15 Parlimen Padang Serai dan keputusan itu dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

FADZIL HANAFI

Semasa proses penamaan calon yang dilakukan semula pada 26 November, calon Warisan, Mohd. Bakhri Hashim atau mana-mana wakil daripada parti itu tidak hadir ke pusat penamaan calon di Dewan Kompleks Sukan Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP).

Bagaimanapun, perkara itu tidak menjadi masalah ekoran penyertaan Mohd. Bakhri sudah disahkan melalui proses penamaan 5 November lalu sebelum proses pengundian ditangguhkan akibat kematian calon PH.

Fadzil berkata, kerajaan di bawah pimpinan Anwar sepatutnya diberi sokongan oleh semua pihak terutama orang Melayu dan Islam.

Beliau berkata, pendirian berkenaan juga selaras dengan manifesto Warisan Kedah yang mahu melahirkan perpaduan dan kesatuan ummah.

“Saranan umat Islam bersatu merupakan tuntutan. Setiap minggu menerusi khutbah Jumaat, mimbar akan berpesan bahawa ‘berpegang teguhlah kamu pada tali Allah (Islam) dan jangan berpecah belah’,” katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Perhubungan Awam Warisan Kedah, Datuk Mustaffa Idrus berkata, Perdana Menteri sewajarnya diberikan ruang dan peluang untuk mentadbir negara.

“Berikan beliau peluang untuk mentadbir negara dan memulihkan ekonomi serta masalah rasuah negara. Saya yakin dan percaya beliau akan dapat mengangkat kembali Malaysia di persada antarabangsa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya