PASIR SALAK: Peluang semua calon bertanding di kerusi Parlimen Pasir Salak adalah terbuka selepas penyandangnya daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, calon Pakatan Harapan (PH) di Parlimen itu, Nik Omar Nik Abdul Aziz berkata, diakui Pasir Salak kubu kuat BN dan UMNO setelah Tajuddin menjadi Ahli Parlimen selama tiga penggal iaitu sejak 2008 yang sudah tentu mempunyai penyokong tegar.
Bagaimanapun, katanya, apabila Tajuddin yang kini digantung keahliannya daripada UMNO tidak bertanding, peluang parti lain untuk menang menjadi terbuka.
“Alhamdulillah, saya diterima baik di sini. Mungkin juga ada unsur pengundi mengingati jasa Allahyarham Tok Guru (Nik Abdul Aziz Nik Mat) yang masih ramai, yang masih mengenali dan yang sempat bersama beliau. Mereka mengenali dan menghormati sosok Tok Guru. Jadi dia terjemahkan rasa hormat dan sayang pada Tok Guru kepada anak dia, itu nilai tambah untuk saya.
“Kita tahu dan kita hormat ini kubu UMNO tapi demokrasi memberi kita peluang untuk mengemukakan tawaran dan saya nampak ini merupakan strategi PH untuk tambah bilangan kerusi bagi memungkinkan Anwar Ibrahim diangkat sebagai Perdana Menteri. Kita berusaha jadikan Pasir Salak salah satu kerusi yang boleh menang walaupun berdepan cabaran yang besar dan berat tapi kita usaha,” katanya.
Ditanya mengenai kehadirannya di sini sebagai calon luar, Nik Omar berkata, isu calon luar mungkin sesuai untuk pilihan raya pada tahun 70-an dan 80-an tetapi sudah tidak relevan untuk hari ini.
Katanya, malah parti lain pun meletakkan calon luar seperti Parlimen Sungai Buloh dan Parlimen Kota Bharu.
“Sepanjang saya berkempen di Pasir Salak, penerimaannya amat baik, saya hormat calon tempatan tapi untuk zaman sekarang ini tak relevan.
“Saya tinggal di Kajang, dari Kajang ke sini sekitar dua tiga jam, tiada masalah,” katanya.
Sementara itu, Nik Omar berkata, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim calon paling layak menjadi perdana menteri kerana merupakan seorang pemimpin bertaraf dunia dan dunia menghormatinya.
“Anwar mempunyai hubungan yang rapat dengan dunia Islam seperti dengan Turkiye dan Qatar dan ini penting untuk pemulihan ekonomi kerana kita perlu menarik pelabur luar.
“Pelabur asing mahu tengok politik yang stabil, pemimpin yang mampu menjana ekonomi. Demi kebaikan di saat kita berdepan ekonomi yang teruk, rakyat kena beri peluang kepada Anwar,” katanya.
Parlimen Pasir Salak menyaksikan pertembungan empat penjuru di antara Nik Omar, Khairul Azwan Harun (BN), Jamaluddin Yahya (PN) dan Zairol Hizam Zakaria (GTA). – UTUSAN










