SPR belum terima petisyen bantah keputusan PRU15

SPR belum terima petisyen bantah keputusan PRU15

Mesyuarat khas SPR bincang tarikh penting PRN Sabah 16 Oktober
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum menerima sebarang petisyen bantahan daripada pihak yang tidak berpuas hati terhadap keputusan pilihan raya selepas pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November lalu.

Petisyen pilihan raya termaktub di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Kaedah-Kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954 yang membolehkan mana-mana pihak mengemukakan rayuan atau bantahan kepada mahkamah pilihan raya sekiranya berlaku keraguan dalam pilihan raya dan keputusannya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, tiap-tiap petisyen pilihan raya hendaklah dikemukakan dalam tempoh 21 hari dari tarikh keputusan pilihan raya itu disiarkan dalam warta kerajaan.

“SPR masih belum menerima apa-apa petisyen setakat ini.

“Bagaimanapun, keputusan PRU15 belum lagi diwartakan, akan bersekali dengan pilihan raya Bahagian Parlimen Padang Serai,” katanya di sini semalam.

Pewartaan keputusan pilihan raya adalah selaras dengan peraturan 27 Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya 1981) bagi maksud penyiaran keputusan dan penyata pengundian dalam Warta.

Di bawah Seksyen 35 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 memberi kuasa kepada mahkamah untuk membuat pengisytiharan bahawa pilihan raya terbabit tidak sah atau kemenangan sepatutnya berpihak kepada calon yang mengemukakan petisyen tersebut.

Sementara itu, Seksyen 32 di bawah akta sama memperuntukkan kemenangan calon dalam pilihan raya tersebut boleh diisytiharkan tidak sah bila mana adanya berlaku pemberian rasuah, ugutan atau perbuatan melanggar undang-undang berkaitan pilihan raya.

Selepas menjalankan perbicaraan ke atas petisyen berkenaan, jika hakim pilihan raya memutuskan bahawa pilihan raya itu terbatal, SPR akan mengeluarkan notis yang pilihan raya baharu akan diadakan di bahagian pilihan raya tersebut.

Ketika tempoh berkempen PRU15 lalu, PKR didakwa mahu memfailkan petisyen terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana didakwa mengeluarkan kenyataan membawa ancaman kepada ketenteraman awam.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, ia susulan satu video ucapan Muhyiddin yang tular di media sosial ketika tempoh berkempen yang didakwa mengaitkan pembangkang dengan agenda Yahudi dan memurtadkan umat Islam di negara ini.

Selain itu, bantahan keputusan pilihan raya boleh dibuat atas alasan pelanggaran undang-undang termasuk kesalahan memakai baju logo parti memasuki pusat mengundi oleh calon dan petugas SPR yang terlibat kerana didapati tidak mengikut undang-undang ketika menjalankan tugas semasa pilihan raya.

Pada Hari Pengundian PRU15 lalu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang didakwa memakai ‘vest’ yang memaparkan logo parti termasuk calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Said dan calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Kamaruddin Jaafar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN