‘Saya akan tandatangan watikah calon PBM’- Larry

Saya akan tandatangan watikah calon PBM – Larry

Kemelut Parti Bangsa Malaysia (PBM) akan diselesaikan dalam tempoh terdekat selepas dua pemimpin utamanya Zuraida Kamaruddin dan Larry Sng Wei Shien bertemu dalam minggu ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Semua pihak perlu akur dan hormat pada keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) yang menamakan Larry Sng Wei Shien sebagai presiden parti yang sah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Larry berkata, perkara tersebut tidak seharusnya menjadi pertikaian dan semua pihak perlu bekerjasama dalam memenangkan parti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Saya masih Presiden yang sah seperti yang RoS kata dan saya juga yang akan menandatangani watikah PRU-15. seperti di PRN Johor, saya juga yang tandatangan.

“Jadi, untuk PRU-15, macam mana nak ubah keputusan dalam masa dua hari? Saya rasa semua pihak kena patuh dan hormat pada keputusan Ros itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Terdahulu, Larry menegaskan yang beliau tidak pernah meletak atau melepaskan jawatan sebagai presiden parti selain memaklumkan akan bertanding menggunakan logo PBM pada PRU bulan depan.

Katanya, beliau masih presiden parti yang sah seperti dalam rekod RoS yang mana beliau dipilih sebagai presiden pada mesyuarat khas persidangan agung parti itu bagi penggal 2021-2024 yang berlangsung di Sibu, Sarawak pada 8 Januari lalu.

Larry sebelum ini mengumumkan penggantungan 13 Ahli Majlis Tertinggi PBM iaitu Datuk Zuraida Kamaruddin; Haniza Talha, Daroyah Alwi; Rahimah Majid, Sathiskumar Govindaraju, Muhammad Saiful Bahari Sahari, Na’im Brundage, Abdul Aziz Abdul Kadir, Zakaria Abdul Rahim, Muniraa Abu Bakar, Chua Lian Chye, Roger Tan Seng Huat dan Albakri Salim.

Begitu juga Setiausaha Agung PBM, Nor Hizwan Ahmad dan Ketua Penerangan, Zakaria Abdul Hamid yang turut digantung pada Khamis lalu berkuat kuasa serta-merta.

Namun, Zuraida yang juga penyandang kerusi Parlimen Ampang kelmarin berkata, krisis dalaman PBM membabitkan jawatan Presiden dan Larry akan diselesaikan sebelum 5 November ini.

Jelasnya, mesyuarat dalaman akan dilaksanakan dalam masa terdekat bagi memutuskan siapakah yang layak untuk memegang jawatan Presiden PBM.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Larry berkata, beliau akan hadir apabila dipanggil untuk membincangkan masalah dalaman terbabit, seterusnya melihat hasil keputusan sama ada kerjasama masih boleh diteruskan ataupun tidak.

Ketika ditanya adakah Zuraida kekal menjadi calon PBM di Parlimen Ampang, Larry berkata, perkara itu turut akan diputuskan dalam perbincangan itu nanti.

Begitu juga isu mengenai 15 individu yang digantung sebelum ini, Larry turut menjelaskan yang ia masih terpakai dan akan memutuskan kemudian sama ada mereka boleh bertanding pada PRU-15 atau sebaliknya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN