Reezal Merican tak janji perkara mustahil

Reezal Merican tak janji perkara mustahil

REEZAL MERICAN NAINA MERICAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ATAS kertas, penyandang Parlimen Kepala Batas sejak dua penggal lalu, DATUK SERI REEZAL MERICAN NAINA MERICAN dilihat tidak berdepan masalah mempertahan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun, kekalahan ketiga-tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen tersebut pada pilihan raya umum lalu sedikit sebanyak menggugat kemenangan BN di Kepala Batas ketika itu.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, ISWAN SHAFIQ ISA, Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas berkenaan berkongsi misi dan visinya untuk memenangi hati pengundi di Kepala Batas sekali gus menjadikan Parlimen itu sebagai kawasan milik BN sepenuhnya kelak.

UTUSAN: Selepas lebih seminggu berkempen, keyakinan Datuk Seri untuk mempertahan kerusi Parlimen Kepala Batas itu setakat ini bagaimana?

REEZAL MERICAN: Ini kali ketiga saya tampil mempertahan kerusi Kepala Batas sebagai wakil rakyat BN (Barisan Nasional) selepas mengambil alih kerusi ini daripada Tun Abdullah (bekas Perdana Menteri yang juga bekas Ahli Parlimen Kepala Batas, Tun Abdullah Ahmad Badawi) pada 2013 yang mewakili kawasan ini hampir 35 tahun. Tiada isu-isu besar dihalakan kepada saya. Banyak isu setempat. Dari segi peluang, saya tak nak mendabik dada atau terlalu optimistik. Semua calon ada peluang sama rata. Apapun, saya yakin rakyat Kepala Batas akan memberi mandat kepada BN sekali lagi pada PRU15.

Penerimaan terhadap manifesto BN kepada pengundi di Kepala Batas?

Saya tak guna (perkataan) manifesto. Saya guna ikrar aku janji kerana ia mempunyai konotasi yang jauh lebih kuat. Saya utamakan beberapa perkara, pertama, global. Kemudian, highly needed (sangat diperlukan) dan ketiga ‘within the permissible time’ atau dalam tempoh waktu yang munasabah. Saya tak boleh janji benda yang mustahil atau tak masuk akal. Semua ini terkandung dalam tujuh aku janji yang turut mengandungi 25 ikhtiar dan 41 gerak kerja yang saya susun sebelum ini.

Jika Datuk Seri menjadi Menteri, bolehkah bawa pembangunan ke beberapa kawasan berhampiran?

Sebenarnya, ia memerlukan kerjasama. Waktu pilihan raya okay la, kita bersaing menyatakan agenda yang dibawa oleh masing-masing. Kalau saya diangkat menjadi menteri sekali lagi, sudah tentu saya utamakan kawasan BN terlebih dahulu. Tapi, apapun, ia memerlukan kerjasama semua. Saya takkan tahu apa yang diperlukan (di kawasan pembangkang) jika mereka tidak beritahu. Untuk pengetahuan juga, sepanjang saya di KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan), banyak juga kelulusan yang saya beri kepada kawasan pembangkang.

PRU kali ini berbeza jika dibandingkan dengan PRU terdahulu. Apa pandangan Datuk Seri faktor penentu kepada kemenangan BN di Kepala Batas?

Saya nampak pola pengundian daripada pengundi muda akan mainkan peranan banyak sebab ini kali pertama mereka mengundi. Jangkaan saya, usia (pengundi antara) 18 hingga ke 25 tahun ini adalah kelompok penentu kepada pola pengundian pada PRU15 ini termasuk di Kepala Batas.

Apa yang Datuk Seri hendak maklumkan kepada para pengundi di Kepala Batas?

Saya nak teruskan berkhidmat. Saya nak kemenangan yang jauh lebih meyakinkan dan nak pastikan (bahawa) di Kepala Batas agar kerajaan yang terbina nanti sebuah kerajaan yang benar-benar stabil dan boleh membawa kemakmuran kepada kita semua. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN