PRU15: Pengundi mahu kerajaan stabil - Utusan Malaysia

PRU15: Pengundi mahu kerajaan stabil

REEZAL MERICAN Naina Merican pada sesi bersama pengamal media di Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican percaya rata-rata pengundi mahukan sebuah kerajaan yang lebih stabil dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sehubungan itu katanya, perlu ada elemen ‘semak dan imbang’ antara pemimpin dengan rakyat termasuk di Kepala Batas.

“Maka, sebab itulah saya perlukan kemenangan yang jauh lebih meyakinkan kali ini dan nak pastikan di Kepala Batas, kerajaan yang bakal terbina nanti benar-benar stabil dan boleh membawa kemakmuran kepada kita semua,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada sesi bersama media yang dihadiri lebih 20 pengamal media Pulau Pinang di Wisma UMNO Kepala Batas, di sini hari ini.

Ditanya mengenai faktor penentu kemenangan BN di Kepala Batas pada PRU15 ini, kata Reezal Merican, setiap undi yang diterima adalah penting.

“Semualah (pengundi penting). Tapi, saya nampak pola pengundian pengundi muda kali ini akan main peranan banyak sebab majoriti daripada mereka akan mengundi buat kali pertama terutamanya pengundi antara umur 18 hingga 25 tahun. Ini paling kritikal.

“Jadi, jangkaan saya pengundi usia itu adalah kelompok penentu kepada pola pengundian pada PRU15 termasuk di Kepala Batas,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau enggan ‘mendabik dada’ atau bersikap terlalu optimistik mengenai peluangnya untuk mempertahankan kerusi Parlimen Kepala Batas pada PRU15.

Katanya, semua calon mempunyai peluang seimbang namun, justeru menyerahkan sepenuhnya kepada pengundi untuk membuat pilihan.

“Apapun, saya yakin rakyat Kepala Batas akan memberi mandat kepada saya sekali lagi untuk mewakili mereka (sebagai wakil rakyat),” kata beliau.

Pada PRU15 ini, Reezal Merican akan ditentang calon Perikatan Nasional (PN), Dr. Siti Mastura Muhammad serta dua lagi calon iaitu Hamidi Abu Hassan (GTA-Pejuang) dan Muhammad Danial Abdul Majeed (Muda-PH). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya