PH tidak bersandar pada populariti calon

PH tidak bersandar pada populariti calon

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penamaan calon-calon Pakatan Harapan (PH) di setiap kerusi parlimen yang ingin ditandingi semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak bersandarkan populariti pemimpin semata-mata tetapi berdasarkan keperluan strategi tersendiri.

Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil berkata, parti­nya tidak melihat populariti calon semata-mata tetapi akan mengikut keperluan strategi tiga peringkat iaitu keseluruhan, negeri dan kerusi Parlimen itu sendiri.

Menurut beliau, tiga strategi tersebut yang menentukan calon-calon PH akan diletakkan di mana untuk bertanding semasa PRU15 kerana setiap tempat memerlukan kekuatan berbeza untuk menang.

“Ia tidak semestinya berpandukan populariti semata-mata atau yang hanya memegang jawatan akan diberikan peluang untuk bertanding semasa PRU-15. Saya ambil contoh di Ampang, dalam pertandingan ketua cabang, Altimet (Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad) menang tetapi memandangkan dalam konteks PRU15 naratifnya adalah untuk menamatkan ‘katak-katak’.

“Maka parti membuat keputusan untuk tidak meletakkan ketua cabang sebagai calon tetapi menamakan seseorang yang berpengalaman dan berpotensi iaitu Ahli Dewan Unda­ngan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Rodziah Ismail untuk menentang penyandang kerusi Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin,” katanya ketika di­hubungi Utusan Malaysia.

Sebelum ini, akhbar melaporkan PKR menamakan 72 calon untuk bertanding di PRU15, an­tara nama-nama baharu adalah bekas Presiden Majlis Belia Malaysia, Jufitri Joha di Parlimen Rembau dan tokoh profesional berkelainan upaya (OKU), Dr. Noraishah Mydin Abdul Aziz bertanding di Putrajaya.

Sehubungan itu, Timbalan Pre­siden PKR, Rafizi Ramli menggesa pemimpin-pemimpin yang tidak dicalonkan nama untuk tidak ‘merajuk’ sebaliknya mengambil masa untuk me­nimba lebih banyak pengalaman dan memperbaiki diri semasa mencapaikan ucapannya Jumaat lalu.

Fahmi yang juga penyandang kerusi Parlimen Lembah Pantai itu berkata, terdapat beberapa pemimpin daripada PKR yang menyatakan hasrat untuk berehat daripada arena politik membuatkan parti mengambil keputusan untuk meletakkan calon lain.

“Ada sesetengah pemimpin daripada PKR yang menyatakan hasrat tidak ingin meneruskan atau pencen seperti penyandang kerusi Parlimen Gopeng, Dr. Lee Boon Chye dan Wangsa Maju, Datin Paduka Dr. Tan Yee Kew,” katanya.

Mengulas mengenai sekiranya pemimpin-pemimpin yang tidak disenaraikan ‘merajuk’ atau memberontak, Fahmi berkata, ia tidak terjadi kerana gerakan parti bukan bersifat kepada satu pemimpin tetapi masyarakat umum.

“Bagi PKR, dari awal gerakan ini bermula ia tidak tertumpu kepada stu pemimpin sahaja tetapi ia adalah gerakan rakyat. Ini memberi satu kekuatan berlainan khususnya untuk PKR dan dapat kita lihat juga untuk PH,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN